KM sampaikan sumbangan kepada 56 mangsa banjir di Alor Gajah
ALOR GAJAH 23 Dis – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, hari ini, menyampaikan sumbangan banjir kepada 56 penduduk yang terjejas dengan bencana itu minggu lalu.
Sumbangan itu melibatkan penduduk di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Durian Tunggal, Gadek dan Ayer Limau.
Sulaiman berkata, sumbangan berupa wang ihsan RM1,000 dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu bertujuan untuk meringankan bebanan mangsa banjir yang telah menerima musibah termasuk kehilangan dan kerosakan harta benda.
“Saya akui, bukan mudah untuk berhadapan dengan situasi bencana banjir ini, apabila banyak barang-barang dan harta benda di rumah hilang serta rosak akibat terkena air.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa banjir kali ini dan berasa amat sedih serta bersimpati melihat keadaan mangsa banjir yang terpaksa berpindah apabila kediaman dinaiki air secara mendadak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut Daerah Alor Gajah di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Dan Tanah Alor Gajah, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) Datin Seri Utama Munira M. Yusop; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ts. Kamel Mohamad dan isteri Datin Dr. Puzziawati Ab. Ghani yang juga Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA).
Yang turut hadir EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) VP Shanmugam dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Persediaan Bencana NADMA Jamil Derus Ahmad.
Dalam majlis itu, BISTARI bersama PUSPANITA dan Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) turut menyerahkan sumbangan 56 botol minyak masak dan 224 kotak COVID-19 self-test kit kepada penerima sumbangan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.