Mangsa banjir bersyukur terima bantuan RM1,000
BUKIT KATIL 23 Dis – “Syukur sangat apabila jumlah bantuan ini dinaikkan, sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban kami mangsa banjir,” kata penerima wang Ihsan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Zainal Yahya.
Menurut Zainal, 32, sebelum ini bantuan yang diterima antara RM200 hingga RM500 namun tidak sangka keperitan yand dilalui mangsa banjir kali ini dirasai kerajaan sehingga jumlah itu dinaikkan RM1,000.
Dia yang tinggal di Taman Merdeka berkata, untuk tahun ini agak mencabar apabila penduduk terpaksa berdepan dengan bencana banjir dalam jangka tempoh yang dekat seperti bulan lalu dan yang terbaharu pada Jumaat lepas.
“Setiap kali berlakunya banjir sudah pasti akan ada kelengkapan rumah yang rosak dan dalam kejadian pada Jumaat lalu paras air melimpah masuk ke dalam rumah sehingga paras betis.
“Apa yang menyedihkan bilik khas untuk ayah mencuci serta menukar tiub diperutnya turut terjejas selain ubat-ubatan turut dihanyutkan air dan dengan adanya duit bantuan ini, saya akan menyediakan semula bilik itu serta membeli ubatnya,” katanya.
Dia ditemui selepas menerima sumbangan wang ihsan dan kit makanan pada Program Penyampaian Sumbangan Wang Ihsan NADMA Daerah Melaka Tengah yang disempurnakan EXCO Pengurusan Banjir Negeri Datuk Rahmad Mariman.
Bagi seorang lagi penerima Ishak Mohd Din, 58, berkata, keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan dalam membantu mangsa banjir amat dihargai apabila menaikkan jumlah bantuan sehingga RM1,000.
“Memang tidak pernah dapat sebanyak ini, tidak sangka pun ada. Alhamdulillah dapat membantu meringankan beban kami untuk mempersiapkan semula kediaman yang terjejas.
“Apabila berlakunya banjir ada diantara kelengkapan rumah seperti dapur gas yang akan rosak dan perlu diganti baharu,” katanya.
Sementara itu, Rahmad berkata, seramai 183 mangsa banjir daripada lima dewan undangan negeri (DUN) iaitu Ayer Molek, Paya Rumput, Ayer Keroh, Bukit Katil dan Kesidang yang terjejas dalam kejadian pada 20 Oktober lalu menerima sumbangan wang ihsan.
“Dengan sumbangan ini ia diharap dapat meringankan bebanan mangsa banjir yang turut mengakibatkan kerosakan harta benda.
“Selain sumbangan wang ihsan ini, kerajaan negeri melalui Tabung Bencana Alam Negeri Melaka juga memperuntukkan sumbangan saguhati RM200 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas sama ada berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau tidak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.