Banjir: ATM tumpu beri bantuan di Pahang, Selangor dan Kelantan
Beliau berkata tumpuan itu juga susulan jumlah mangsa banjir di negeri-negeri berkenaan melebihi 1,000 individu, selain Pahang turut menunjukkan peningkatan lokasi yang terkesan akibat bencana itu.
“Di Pahang buat masa ini dengan jumlah mangsa seramai 38,399 orang, sembilan kawasan yang melibatkan atur gerak ATM adalah di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera.
“Bagi Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka buat masa ini menunjukkan keadaan yang masih terkawal,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda di sini, hari ini.
Affendi berkata bagaimanapun ATM sentiasa bersedia dengan kekuatan satu kompeni iaitu lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan siap siaga di setiap negeri bagi diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan dalam menangani krisis seumpama ini, ATM lebih melihat kepada kesepaduan antara agensi dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.
“Kita tidak boleh lagi bekerja secara bersendirian atau ‘silo’. Sebarang usaha yang dilaksanakan adalah lebih berkesan sekiranya dilaksana dengan berkonsepkan `whole of government approach’ (pendekatan menyeluruh kerajaan) bagi memastikan setiap agensi terlibat dapat digembleng secara bersama dan berkesan,” katanya.
Beliau menegaskan, ketika ini bukanlah masa untuk mana-mana pihak meletakkan kesalahan sehingga boleh mengganggu dan menjejaskan sebarang usaha menyelamat serta memindahkan mangsa yang terkesan akibat bencana itu.
“Sebarang kekurangan dalam aspek pengurusan banjir ini adalah tugas bersama setiap agensi untuk mencari jalan penyelesaian dalam menambah baik operasi yang dilaksanakan dan pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.