PNB umum agihan pendapatan lima sen untuk pemegang unit ASB
Pembayaran sebanyak RM8.9 bilion itu merangkumi pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit yang memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit, sekali gus menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB berjumlah RM168.5 bilion sejak ia diperkenalkan pada 1990.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah yang lain, dan usaha berterusan dalam strategi kepelbagaian dan pengukuhan portfolio telah membuahkan hasil positif.
“Prestasi pelaburan ekuiti global yang lebih kukuh telah berjaya mengurangkan kesan pasaran domestik yang mencabar. Ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan yang mampan,” katanya semasa majlis pengumuman dividen ASB yang diadakan secara maya hari ini.
Arifin berkata ASB mencatatkan prestasi positif di sebalik keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu, serta kemunculan varian baharu COVID-19 dan peningkatan kes baharu sepanjang tahun yang memperlahankan pemulihan ekonomi global.
FBM KLCI merosot 7.80 peratus setakat 22 Dis 2021, manakala indeks utama global menunjukkan prestasi lebih baik dengan S&P 500 dan FTSE 100 masing-masing mencatatkan pulangan sebanyak 26.3 peratus dan 11.2 peratus.
“Pengagihan pendapatan ASB pada tahun ini kekal kompetitif hasil usaha dan dedikasi pasukan pelaburan kami. Kadar pengagihan pendapatan sebanyak lima sen seunit ini adalah 315 mata asas lebih tinggi berbanding Deposit Tetap 12-bulan yang kadar semasanya ialah 1.85 peratus,” kata Arifin.
Beliau berkata jumlah akaun ASB bertambah sebanyak hampir 200,000 kepada 10.4 juta, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 7.4 bilion atau 4.3 peratus kepada 181.2 bilion unit.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, PNB berbesar hati dengan bilangan rakyat Malaysia yang melabur dengan PNB dan jumlah pelaburan yang terus meningkat meskipun dalam persekitaran yang mencabar.
“PNB telah menunjukkan daya tahan dalam mengharungi ketidaktentuan pada tahun ini dengan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan. Untuk 11 bulan pertama tahun ini, jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB telah meningkat 4.9 peratus kepada RM338.4 bilion, mencerminkan kepercayaan berterusan oleh pemegang unit,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh strategi Fokus 4 pada tahun ini, beliau berkata PNB telah mencapai kemajuan ketara dalam tiga bidang tumpuan iaitu mencipta nilai dalam prestasi portfolio domestiknya, meneruskan usaha kepelbagaian di pasaran global menerusi kelas aset yang berbeza dan mempercepatkan peningkatan perkhidmatan melalui pendigitalan.
Urus niaga ASB ditangguhkan bermula hari ini sehingga 2 Jan, 2022 untuk urusan pengagihan dividen dan akan disambung semula pada 3 Jan, 2022. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.