Melaka sedia peruntukan RM60,000 untuk sumbangan Krismas – KM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 22 Dis – Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM60,000 bagi menyalurkan sumbangan kepada 300 masyarakat yang beragama Kristian di Melaka untuk meraikan perayaan Krismas tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata berbeza dengan sambutan Krismas pada tahun lepas iaitu dalam waktu pandemik COVID-19, sambutan tahun ini dijangka lebih meriah dengan tradisi kunjung-mengunjung.

“Bagaimanapun suka saya mengingatkan dalam kegembiraan dan keceriaan kita meraikan sambutan Krismas ini, janganlah kita mengabaikan aspek kesihatan dan keselamatan termasuk Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Kita perlu ingat bahawa negeri dan negara kita ini masih belum bebas sepenuhnya daripada ancaman wabak COVID-19 terutama dengan penularan varian baharu, Omicron yang dikatakan lebih berbahaya.

“Jadi hari ini kita serahkan sumbangan Krimas sebanyak RM200 setiap keluarga sebagai tanda kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap aspek kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Perayaan Krismas 2021 di Dewan Bistari di sini, hari ini.

SULAIMAN

Hadir sama Exco Kebajikan Datuk Kalsom Noordin; Exco Kerja Raya dan Pengurusan Banjir, Datuk Rahmad Mariman; Exco Kesihatan Dr Muhamad Akmal Salleh dan lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai bencana banjir yang berlaku di negeri ini, Sulaiman berkata, kerajaan negeri berusaha untuk menghulurkan bantuan sewajarnya khususnya kepada golongan kurang berkemampuan.

“Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi dan jabatan yang berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

910
Kongsi :
Previous post Abang bomba tunjuk bakat memancing
Next post Banjir: Hanya tinggal 150 mangsa di tiga pusat pemindahan Melaka
Ubah saiz-+=