SK Nyalas akan diangkat menjadi Sekolah Sukan- ADUN Asahan

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

ASAHAN 22 Dis- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mengangkat taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas menjadi sekolah Sukan dalam masa terdekat.

Katanya, perkara itu merupakan hasil perbincangan bersama Guru Besar SK Nyalas, Imran Lamin selepas sekolah terbabit diangkat menjadi akademi angkat berat.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan kepada KPM berikutan sekolah berkenaan juga berjaya melahirkan atlet-atlet baru terutama dalam sukan angkat berat.

“Kita mahu Sk Nyalas ini diangkat seiring seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota dan sukan apa yang tidak ada di sekolah itu (SMK Seri Kota) kita wujudkan di SK Nyalas untuk lahirkan pelapis-pelapis dalam bidang sukan.

“Usaha ini sekaligus dapat mengoptimumkan dan meningkatkan secara langsung ekonomi Asahan dan memperkenalkan Nyalas kepada dunia luar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meraikan lima atlet remaja yang berjaya merangkul emas dalam kategori sukan angkat berat di Karnival Bakat yang diadakan di Kuala Lumpur awal Dis lalu, di Dewan JAPERUN Asahan.

Mengulas lanjut, beliau juga mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan diangkat menjadi kawasan yang melahirkan ramai pelapis atlet di Melaka.

“Saya turut difahamkan terdapat lebih 30 pelapis yang ada di sekolah terbabit dan kalau kita lepaskan bakat mereka ini, ia merupakan kerugian kepada negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1634
Kongsi :
Previous post Razarudin dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu
Next post Abang bomba tunjuk bakat memancing
Ubah saiz-+=