Banjir: 60 mahasiswa anak Melaka bantu keluarga terkesan banjir
MASJID TANAH 22 Dis – Seramai 60 mahasiswa anak Melaka di bawah Gerakan Mahasiswa Melaka (GMM) turun padang bagi membantu keluarga yang terkesan akibat bencana banjir di negeri ini baru-baru ini.
Pengerusi GMM, Danieq Afifi Iskandar berkata ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu fokus utama gerakan itu adalah untuk membantu masyarakat di negeri ini yang memerlukan pertolongan.
“Tanda pagar #AnakMudaMelakaTurunPadang memang tidak asing lagi dengan GMM, fokus gerakan untuk bantu segenap lapisan masyarakat…biarpun ditubuhkan kurang daripada dua tahun tetapi sambutan sukarelawan mahasiswa yang diterima diluar jangkaan.
“Berikutan bah yang melanda negara baru-baru ini, negeri bersejarah ini juga menerima tempiasnya. Ramai dalam kalangan penduduk khususnya di kawasan Lubok China hidup sehelai sepingang.
“Justeru GMM dengan penglibatan dari 12 Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara menggerakkan seramai 60 mahasiswa anak Melaka untuk turun ke lapangan membantu keluarga yang terkesan dengan bencana ini,” katanya kepada MHI.
Danieq turut menyeru dan berharap lebih ramai mahasiswa anak Melaka khususnya untuk turun membantu menyumbangkan tenaga membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir yang terkesan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata bencana banjir yang berlaku kali ini di luar kebiasaan.
“Penduduk sendiri tidak menjangkakan rumah mereka dinaiki air sehingga paras bumbung kerana kali terakhir ia berlaku adalah pada tahun 1971.
“Apapun, saya ucapkan terima kasih dan saya amat bersyukur dengan keprihatinan #AnakMudaMelaka dalam membantu masyarakat setempat,”. katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.