Sorting by

×

Sindiket jual bayi ‘Geng Nana’ tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BANDA HILIR 20 Dis – Sindiket pemerdagangan bayi dikenali Geng Nana tumpas apabila kesemua 14 ahli termasuk ketuanya dicekup polis dalam beberapa siri tangkapan bulan ini.

Semua suspek ditahan dalam Ops Pintas Nana yang dijalankan bermula 1 Dis lalu dan menyelamatkan tiga bayi berusia dua hingga tujuh bulan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, sembilan daripada 14 suspek ditahan itu adalah wanita termasuk warga Indonesia manakala lima lagi adalah lelaki tempatan yang kesemuanya berusia antara 25 hingga 58 tahun.

Katanya, turut ditahan sepasang suami isteri berusia 40-an yang dipercayai membeli seorang bayi berusia tiga bulan daripada sindiket berkenaan dan kesemua suspek ditahan di sekitar daerah Melaka Tengah.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Mac tahun lalu diketuai oleh wanita berusia 33 tahun dikenali sebagai Nana dengan mengiklankan bayi di laman sosial Instagram selain mengenal pasti mana-mana wanita mengandung luar nikah sebelum membuat tawaran.

“Ibu mengandung yang berminat kemudian akan dijaga sebelum melahirkan dan kemudiannya bayi itu akan dijual dengan harga RM12,000 kepada keluarga angkat berminat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.

Menurut beliau, ibu mengandung itu ditempatkan di inap desa dan melahirkan bayi mereka dengan disambut oleh seorang bidan wanita berusia 27 tahun yang kini masih bebas dan diburu polis.

“Bidan ini dikatakan akan menerima upah RM1,000 bagi setiap kelahiran yang diurusnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, kegiatan sindiket ini terbongkar apabila menerima aduan daripada pasangan suami yang memaklumkan tidak menerima sebarang dokumen selepas membeli anak angkat daripada sindiket.

“Pasangan ini yang belum menerima sebarang dokumen selepas empat bulan menerima bayi terbabit kemudian merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak polis.

“Siasatan lanjut dijalankan mendapati sindiket ini dipercayai sudah menjual tiga lagi bayi kepada keluarga angkat dan usaha mengesan bayi ini giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas empat kenderaan, lapan telefon bimbit serta pasport termasuk dokumen digunakan untuk urusan kelahiran bayi dan serahan bayi.

Jelasnya, bayi dan kanak-kanak yang berjaya diselamatkan kini berada dibawah JKM dan kesemua suspek direman sehingga 27 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1119
Kongsi :
Previous post Bekalan air dari LRA Semenyih 2 pulih sepenuhnya malam ini
Next post Limpahan Sungai Rembau bawa rezeki
Ubah saiz-+=