Banjir: Usahawan OKU buntu barang niaga rosak teruk

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER LIMAU 19 Dis – “Saya buntu memikirkan bagaimana untuk mendapatkan modal bagi memulakan semula perniagaan selepas semua barangan jualan dan kedai rosak teruk akibat banjir,” kata usahawan orang kurang upaya (OKU), Mohd Norafi Mokhsin, 33.

Beliau mengalami kerugian besar selepas puluhan kotak susu yang dijual di kedainya yang diperbuat daripada kabin, musnah dilanda banjir semalam.

“Saya kehilangan semua produk jualan yang saya beli daripada stokis di Ayer Keroh apabila air naik setinggi kira-kira dua meter di kedai saya yang berhampiran dengan Masjid al-Wakil.

“Bukan mudah untuk saya mendapatkan modal baharu bagi memulakan semula perniagaan yang saya usahakan dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kedainya di pekan Lubok Cina, di sini hari ini.

Kedai berkenaan adalah satu daripada puluhan kedai di pekan itu yang rosak akibat dilanda arus deras banjir mulai jam 5 pagi semalam dan surut mulai jam 7 pagi hari ini.

Dia tidak mampu menggerakkan tangan kanan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya membabitkan motosikal ditungganginya dengan treler di Ayer Keroh pada 2010.

Selain kehilangan kotak susu, dia turut mengalami kerugian apabila satu peti sejuk turut musnah.

Peniaga kedai makan, Kamarudin Ahmad, 52, dan isteri, Junidah Abdul Rahman,, 51, turut mengalami kerugian selepas pelbagai barangan dalam kedainya rosak teruk akibat dinaiki air.

Peti sejuknya turut dihanyutkan arus deras, selain kerusi dan meja makan rosak teruk, katanya.

KAMARUDIN menunjukkan peti ais yang dihanyutkan arus deras banjir di kedai makannya di pekan Lubok Cina, Masjid Tanah.

Peniaga santan, Norazmani Mohamad, 58, dan isteri, Sri Herdayanti Patma, 57, merayu kerajaan negeri menghulurkan bantuan bagi membolehkan mereka memulakan semula perniagaan.

“Banjir seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan kami tidak tahu macam mana hendak mendapatkan modal untuk menjalankan kerja pembaikan mesin parut kelapa dan perah santan yang sudah rosak tenggelam dalam banjir,” katanya.

Peniaga ikan dan sayur, Razi Md Rotin, 60, berkata selain peti ais rosak, dia turut mengalami kerugian apabila pelbagai bahan jualan dihanyutkan arus deras.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri membantu meringankan beban peniaga untuk memulakan semula perniagaan.

NORAZMANI dan Sri Herdayanti membersihkan kedai santan mereka yang rosak dilanda banjir di pekan Lubok Cina, Masjid Tanah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

814
Kongsi :
Previous post Banjir: Perkhidmatan tren kargo dari Pelabuhan Klang digantung sementara – KTMB
Next post Banjir: Kebajikan mangsa terjejas diberi perhatian sewajarnya – KM
Ubah saiz-+=