Tanah runtuh di Durian Tunggal, jalan ditutup seminggu-Exco

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

DURIAN TUNGGAL 19 Dis – Lereng bukit di Taman Belimbing Setia, Durian Tunggal runtuh sehingga menghalang laluan Jalan Persiaran Belimbing Setia taman berkenaan.

Berikutan itu, sepanjang 200 meter jalan keluar masuk ke taman terbabit yang berhampiran kejadian tanah runtuh itu telah ditutup oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Alor Gajah.

Exco Kerja Raya negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata faktor runtuhan tembok sepanjang 90 meter itu dikenal pasti berpunca daripada cuaca hujan dan peralihan monsun timur laut sekaligus menyebabkan struktur di bawah tanah longgar.

Katanya, bagi tujuan keselamatan, penutupan laluan itu akan dilakukan bagi tempoh.

“Kalau kita tengok tadi, dia punya load (batu penghadang) tu dah pecah, longkang pun dah mula pecah, makna beban tu dah cukup berat kat bawah, bila-bila masa ia boleh runtuh kerana tanah ini berstatus aktif, dan bergerak. Boleh dengar tadi masih bergerak.

“Buat sementara ini, penduduk diharap bersabar dan menggunakan jalan alternatif lain bagi memberi ruang kepada pihak berwajib melakukan pemerhatian dan cadangan penambahbaikan.

“Kita perhatikan keadaan, situasi, kondisi tembok ini, berlaku tak lagi pergerakan. Kalau seminggu tak berlaku, kita akan buka sebahagian jalan ini.

“Jadi buat masa sekarang laluan dilencongkan bukan ditutup sepenuhnya, jalan ini sahaja sepanjang 200 meter di tutup, tetapi ada lencongan di sebelah dalam taman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lokasi kejadian, petang tadi di Jalan Persiaran Belimbing Setia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Ismail Abd Rahman.

Mengikut rekod seramai kira-kira 1,500 penduduk menghuni di kawasan tersebut membabitkan 300 buah rumah di Taman Belimbing Setia itu.

Mengulas lanjut, Rahmad turut menasihati agar penduduk menggunakan laluan alternatif sementara menunggu pihak JKR membuat kajian samaada terdapat keperluan membuat tembok baru atau pemulihan.

“Jadi saya harap penduduk dapat bersabar. kita tengok dalam tempoh seminggu ini, pihak kita akan buat kajian dan cadangan apa yang perlu kita lakukan sama ada kita membina tembok baru dengan pattern yang lain.

“Ataupun kita berunding dengan pemaju untuk menjarakkan lagi jarak tanah ini ke belakang lagi, sebab ‘grid wall’ ini dia bila runtuh, dia punya konkrit ini boleh terpelanting mengenai kenderaan ataupun orang ramai. Itu lebih bahaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1546
Kongsi :
Previous post Hanya air Empangan Tasik Subang dilepas secara berterusan sejak semalam
Next post Banjir: Perkhidmatan tren kargo dari Pelabuhan Klang digantung sementara – KTMB
Ubah saiz-+=