Hanya air Empangan Tasik Subang dilepas secara berterusan sejak semalam

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Hanya air dari Empangan Tasik Subang dilepaskan secara berterusan sejak semalam berikutan hujan lebat yang melanda Selangor sejak Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim berkata air empangan berkenaan perlu dilepaskan secara berperingkat kerana paras airnya menghampiri paras penuh yang boleh menyebabkan kerosakan struktur binaan empangan.

“Air yang dilepaskan daripada empangan ini akan dialirkan ke Sungai Subang sebelum ke Sungai Buloh seterusnya ke Sungai Selangor dan ke laut, aliran daripada air ini tidak akan memasuki Sungai Klang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu tular di media sosial bahawa air Empangan Klang Gate dan Empangan Semenyih akan dilepaskan berikutan paras airnya sudah mencecah kapasiti penuh.

Menurut Izham bagi empangan lain di Selangor pelepasan air dilakukan secara berkala seperti biasa yang tidak melibatkan pelepasan air yang banyak.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my dalam portalnya melaporkan paras air Sungai Langat, Sungai Bernam, Sungai Binjai, Sungai Selangor di Selangor telah melebihi tahap bahaya dan sedang menaik.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya tidak menerima makluman berhubung pelepasan air di empangan.

Katanya pihaknya bagaimanapun bersedia menyediakan aset logistik untuk berada di kawasan berdekatan empangan yang dikatakan akan dibuka bagi melepaskan air.

“Buat masa ini tugas kami adalah tertumpu kepada memberikan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2489
Kongsi :
Previous post Banjir: Hampir 800 mangsa dipindahkan di Melaka
Next post Tanah runtuh di Durian Tunggal, jalan ditutup seminggu-Exco
Ubah saiz-+=