Banjir: Beberapa jalan utama KL dinaiki air, empat sungai lepas paras bahaya

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Hujan lebat berterusan sejak Jumaat turut menjejaskan beberapa kawasan di ibu negara termasuk pusat bandar dan jalan utama.

Berdasarkan beberapa gambar yang dikongsikan pasukan ‘Kuala Lumpur Command and Control Centre’ (KLCCC) (dahulu dikenali sebagai Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS)) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, antara kawasan yang dinaiki air termasuk Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Ampang.

Perkongsian itu turut memaparkan situasi kenderaan terperangkap dan tidak dapat bergerak dengan kedalaman air pada paras melebihi paras lutut.

Berlaku juga situasi tanah mendap di Jalan Tuanku Abdul Halim menghala ke arah Istana Negara.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi Twitter miliknya turut memaklumkan, empat sungai utama di sini telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Batu di Sentul, Sungai Klang di Tun Perak, Sungai Gombak di Jalan Tun Razak dan Sungai Kerayong di Razak Mansion.

“Bersedia dengan segala kemungkinan banjir,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata sebarang aduan berkaitan banjir boleh dibuat menerusi Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Lumpur di 03- 22028142 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JPS.

Dalam pada itu, Prasarana menerusi Twitter pula memaklumkan berkenaan penutupan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek sehingga diberitahu, susulan situasi banjir yang semakin memburuk.

“Semua tren tidak akan berhentu di stesen Masjid Jamek. Penumpang dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan alternatif. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dialami,” menurut catatan tersebut. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1612
Kongsi :
Previous post Terowong SMART ditutup bagi pengaktifan sistem banjir
Next post Hampir 5,000 anggota JBPM diatur gerak bagi membantu mangsa banjir di enam negeri
Ubah saiz-+=