Mangsa banjir di PPS akan disaring, elak kluster COVID-19 – Khairy
Khairy berkata di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), mangsa banjir akan disaring terlebih dahulu untuk mengesan jika mempunyai gejala dan faktor risiko COVID-19 sebelum boleh memasuki PPS.
“Kes positif COVID-19 akan diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) atau PPS Khas atau dirujuk ke hospital mengikut keperluan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kontak rapat atau individu di dalam pengawasan (PUS) pula akan dikuarantin di PPS Khas atau PPS yang sama tetapi di blok berlainan, manakala individu yang bergejala juga akan dikuarantin.
Keadaan banjir di beberapa negeri semakin buruk dengan jumlah mangsa di PPS terus meningkat, dan Selangor mencatat bilangan mangsa paling tinggi, setakat petang ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata dua Klinik Kesihatan (KK) di Selangor iaitu KK Pelabuhan Klang dan KK Pulau Indah terjejas akibat banjir dan tidak dapat beroperasi.
“Kementerian Kesihatan (KKM) akan memaklumkan klinik alternatif berhampiran sekiranya klinik-klinik kesihatan itu masih tidak dapat beroperasi pada Isnin,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada sekiranya berada di kawasan yang berisiko banjir dan mematuhi arahan pihak berwajib, khususnya keperluan untuk berpindah awal.
Katanya orang ramai yang terlibat juga perlu maklumkan status risiko COVID-19 kepada agensi tindak balas sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.
“Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS, sentiasa memakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan maklumkan kepada petugas atau pasukan perubatan di PPS sekiranya mengalami gejala COVID-19.
“Elakkan berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir dan amalkan mencuci tangan menggunakan hand sanitizer atau sabun terutama apabila pergi ke tempat menjadi guna sama seperti tandas,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.