Jumlah mangsa banjir di Melaka meningkat 288 orang

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

ALOR GAJAH 18 Dis – Jumlah mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 288 orang setakat jam 4 petang tadi, menurut data Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka.

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata, setakat ini sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di daerah Alor Gajah.

Katanya, ia melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal dengan jumlah mangsa 73 orang, SK Telok Berembang (85 mangsa) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan (68 mangsa).

Katanya, dua lagi PPS ialah Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Jelatang (52 mangsa) dan SMK Lubok China (10 mangsa) yang dibuka pada jam 8.30 pagi dan 12.30 tengah hari tadi dibuka.

Katanya lagi, keseluruhan 63 keluarga dipindahkan membabitkan 288 mangsa, dengan PPS SK Telok Berembang yang tertinggi setakat ini, iaitu 85 mangsa.

“Semua mangsa dipindahkan selepas 10 kawasan termasuk Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Jeram, Kampung Taboh Naning , Pekan Lubok China, Ramuan Besar China, Taman Seri Bayu, 1 & 2 , Kampung Pengkalan, Kampung Panchor dan Kampung Beringin dinaiki air,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 14 kawasan di daerah Melaka Tengah dan satu kawasan di Jasin dinaiki air, namun masih belum ada PPS dibuka.

Beliau berkata, antara kawasan terjejas banjir di daerah Melaka tengah ialah di Batu Hampar Peringgit, Kampung Enam, Taman Melawis, Hang Tuah Mall, Jalan Ong Kim Wee, Kampung Hulu, Kampung Morten dan Malim Jaya.

Manakala daerah Jasin melibatkan kawasan Lubuk Kasau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1363
Kongsi :
Previous post Bantu rakan baiki kereta sebelum jadi korban nahas – Adik
Next post Helikopter dinaiki Abang Johari mendarat cemas, semua selamat
Ubah saiz-+=