Bantu rakan baiki kereta sebelum jadi korban nahas – Adik

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SHAH ALAM, 18 Dis – “Saya sempat berbual dengan abang kira-kira pukul 10 malam tadi ketika beliau pulang dari kerja dan bersiap-siap untuk keluar semula difahamkan bagi membantu rakannya yang mengalami kerosakan kereta di jalan raya,” kata Muhamad Farhan Rolex.

Muhamad Farhan, 24, adik kepada Mohamad Rahimi Rolex, 27, yang merupakan seorang daripada 10 mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri berhampiran kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya ELITE menghala Shah Alam di sini, malam tadi.

Beliau berkata bapanya, Rolex Shapiai memberitahu bahawa Mohamad Rahimi masih belum pulang meskipun waktu itu sudah pukul 12.30 tengah malam.

“Bapa cuba menghubungi telefon abang saya beberapa kali sehinggalah seorang individu yang tidak dikenali menjawab panggilan itu dan memberitahu keadaan yang menimpa beliau,” katanya kepada Bernama di bilik mayat Hospital Shah Alam, di sini.

Muhamad Farhan berkata sudah menjadi kebiasaan bagi abangnya yang merupakan seorang mekanik, menghulurkan bantuan kepada pemandu yang kenderaan mereka mengalami kerosakan di jalan raya.

Bernama difahamkan rakan kepada Mohamad Rahimi yang meminta bantuan bagi membaiki kereta Perodua Axianya turut mengalami kecederaan iaitu patah kaki dalam nahas tersebut.

Sementara itu, tinjauan Bernama di bilik mayat hospital itu mendapati suasana sugul menyelubungi ahli keluarga dan sahabat handai mangsa.

Selain Mohamad Rahimi, nahas membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler itu yang melibatkan 17 mangsa, turut mengorbankan seorang wanita dan lapan anaknya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post Sungai Melaka melimpah, Kampung Morten dinaiki air
Next post Jumlah mangsa banjir di Melaka meningkat 288 orang
Ubah saiz-+=