Yang Dipertua Negeri P.Pinang terima darjah kebesaran tertinggi Sabah
KOTA KINABALU, 17 Dis – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hari ini menerima darjah kebesaran tertinggi Sabah iaitu Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Ahmad Fuzi menerima SPDK dalam majlis di Istana Seri Kinabalu di sini disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Terdahulu Ahmad Fuzi tiba di Istana Seri Kinabalu kira-kira jam 4 petang tadi bersama isteri Toh Puan Khadijah Mohd Noor dan rombongan dari Istana Negeri Pulau Pinang bagi mengadakan kunjung hormat ke atas Juhar.
Ahmad Fuzi dan isteri kemudian menandatangani buku kehadiran tetamu istana sebelum dibawa ke Dewan Kunjungan Utama bagi kunjungan hormat berkenaan.
Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni berkenan menerima kunjungan hormat itu yang diadakan sempena lawatan rasmi Ahmad Fuzi serta isteri ke Sabah selama enam hari mulai hari ini sehingga Rabu depan.
Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Ahmad Fuzi, Mohd Abdul Rahman Ismail ketika ditemui pemberita berkata kunjungan hormat tersebut bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan Sabah.
Mengenai lawatan rasmi Ahmad Fuzi ke Sabah, Mohd Abdul Rahman berkata ia diadakan sempena sambutan Hari Ulang Tahun TYT Pulau Pinang itu yang ke-72 dengan antara lain menyaksikan satu kejohanan Golf Piala TYT 2021 di sini akan berlangsung pada 21 Dis ini.
Ahmad Fuzi turut dijadual menghadiri taklimat pembangunan Sabah di Menara Kinabalu di sini esok.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.