Kerajaan perlu semak semula skim gaji- CUEPACS
KUALA LUMPUR 17 Dis- Kerajaan wajar untuk menyemak semula skim gaji yang diterima pekerja sektor awam mahupun swasta dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat berkata, situasi itu kerana dengan gaji di sektor awam dan swasta yang ditawarkan bermula RM1,200 sebulan disifatkan tidak lagi kompetitif.
Katanya, dengan skim gaji yang rendah itu sudah pasti para pekerja perlu melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk meningkatkan taraf hidup dan kualiti mereka.
“Ia bukan mengenai gaya hidup seseorang kerana keperluan hidup ketika ini pun sukar untuk dipenuhi berikutan pendapatan boleh guna rakyat yang rendah dek kerana skim gaji yang masih lagi rendah.
“Jika hanya berharapkan gaji sedia ada, sudah tentu tidak mencukupi justeru itu adalah wajar kerajaan menyemak semula skim gaji yang diterima oleh para pekerja ketika ini baik di sektor awam dan juga swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini mengulas mengenai seorang penjawat awam yang dikenakan hukuman denda RM8,000 kerana menjalanan perniagaan tanpa kebenaran semasa berkhidmat sebagai penjawat awam.
Berkaitan kes itu, ujarnya, CUEPACS menghormati keputusan mahkamah dan turut difahamkan penjawat awam terbabit telah berkhidmat selama 25 tahun sebagai penjawat awam.
Jelasnya, penjawat awam terbabit menjalankan perniagaan berikutan komitmen tinggi dalam membesarkan anak-anak dengan kos sara hidup yang tinggi.
“CUEPACS difahamkan penjawat awam tersebut telah berkhidmat selama 25 tahun dengan cemerlang.
“Bagaimanapun komitmen yang tinggi kerana perlu membesarkan anak-anak dengan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan beliau terpaksa dan perlu melakukan dua pekerjaan iaitu berniaga bagi menyara kehidupan keluarga dengan lebih baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.