Sorting by

×

Nelayan bina surau untuk pengunjung Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

PANTAI KUNDOR 17 Dis – Nelayan di Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri, di sini berkongsi kegembiraan selepas berjaya membina surau untuk pengunjung pantai itu.

Daripada sekadar gurauan dalam kalangan nelayan, akhirnya cakap-cakap untuk membina surau bagi kemudahan pengunjung Pantai Puteri menjadi kenyataan hasi sumbangan 20 nelayan dan rakan mereka.

Dengan jumlah sebanyak RM11,000 yang berjaya dikumpulkan, nelayan terbabit bergotong-royong membina surau dan melengkapkan sistem penyaluran air dari telaga ke paip surau dengan menggunakan tenaga elektrik.

Ketua nelayan, Ali Zainol, 61, berkata beliau dan nelayan lain sering menyaksikan pengunjung pantai membentangkan sejadah di bawah pokok ru untuk menunaikan solat.

“Kami solat di pondok pangkalan nelayan tetapi ruangnya amat terhad dan kami tidak dapat menerima orang ramai yang ingin menunaikan solat di tempat itu.

“Pada mulanya kami sekadar bergurau untuk membina surau
tetapi selepas seorang demi seorang memberikan sumbangan termasuk sahabat handai kami yang bukan nelayan, kami berusaha membinanya secara gotong-royong pada Oktober lalu,” katanya ketika ditemui di surau itu, hari ini.

Beliau berkata, waktu terluang ketika tidak turun ke laut digunakan nelayan untuk bersama-sama membina surau berkenaan, selain mendapatkan perkhidmatan seorang juruelektrik untuk membolehkan air telaga disalurkan ke paip di surau itu.

Ali berkata, sebelum kerja pembinaan dimulakan, beliau
mendapatkan kebenaran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan tidak menghadapi masalah selepas surau itu siap dibina.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengunjung pantai yang ingin menggunakan kemudahan di surau itu supaya tidak mandi di tempat wuduk atau mengotori ruang solat dengan pasir yang melekat pada kaki ketika berjalan di pasir pantai.

MOHD Ali Zainol memasang papan tanda mengingatkan pengunjung supaya tidak mandi di tempat wuduk di surau Pantai Puteri, Tanjung Kling. Foto Din Ahmad

Sementara itu, Abdul Aziz Yahaya, 59, berkata sebelum adanya surau berkenaan, pengunjung pantai terpaksa ke Masjid al-Hilal, kira-kira 500 meter dari surau berkenaan.

“Alhamdulillah, dengan adanya surau itu, orang ramai tidak
perlu lagi berjalan jauh ke masjid dan cukup dengan menggunakan kemudahan di surau itu,” katanya.

“Surau berkenaan mampu memuatkan 10 jemaah lelaki dan empat wanita pada satu-satu masa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) jarak satu meter,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2011
Kongsi :
Previous post Bajet 2022: Peruntukan khas untuk kuil dan sekolah masyarakat India
Next post Jumlah mangsa hilang bot karam mungkin melebihi 17 orang – KP APMM
Ubah saiz-+=