Ammonium nitrat punca letupan, kata Presiden Lubnan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

ISTANBUL/BEIRUT, Ogos 5 – Presiden Lubnan Michel Aoun berkata ammonium nitrat sebagai punca letupan besar di Pelabuhan Beirut pada Selasa yang mengorbankan lebih 60 orang dan mencederakan hampir 3,000 orang, lapor Agensi Anadolu.

Dalam ciapan di akaun Twitter Presiden Lubnan, Aoun berkata menyimpan 2,750 tan metrik ammonium nitrat di gudang tanpa langkah keselamatan adalah perkara yang tidak dapat diterima.

Beliau menegaskan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum dengan cara yang paling berat.

Sementara itu, pihak berkuasa Lubnan mengisytiharkan Beirut sebagai “kawasan bencana” berikutan kejadian itu.

Majlis Pertahanan Tertinggi Lubnan mengisytiharkan darurat selama dua minggu di ibu kota itu.

Seiring dengan situasi darurat, kabinet mengambil keputusan antaranya memperuntukkan dana kepada hospital untuk menampung perbelanjaan mangsa yang cedera, membayar pampasan kepada waris mangsa terkorban dan membekalkan gandum berikutan kerosakan pada gudang gandum.

Sebuah jawatankuasa penyiasatan juga telah ditubuhkan yang akan menyiapkan laporan mengenai letupan itu dalam masa lima hari.

Kebakaran di gudang berisi bahan letupan di Pelabuhan Beirut itu menyebabkan letupan besar, yang meranapkan sebuah bangunan tiga tingkat dan bunyi letupan kuat didengari di seluruh bandar dan pinggir bandar.

Sekurang-kurangnya 63 orang terkorban dan lebih 2,750 cedera, kata Menteri Kesihatan Lubnan Hamad Hassan.

Negara-negara jiran dan wilayah termasuk Turki mengucapkan takziah serta menghulurkan bantuan kepada Lubnan.

Presiden Donald Trump mendakwa letupan itu “kelihatan seperti serangan yang mengerikan,” yang menunjukkan ia adalah pengeboman dan bukannya kemalangan.- BERNAMA

 

Views:

543
Kongsi :
Previous post Belut hidangan eksotik
Next post LETUPAN DI BEIRUT : Malaysia sedia hulur bantuan – Muhyiddin
Ubah saiz-+=