MPJ naib johan anugerah pasar bersih dan selamat 2021
Oleh Juraidah Othman
JASIN 16 Dis. – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus melakar kejayaan apabila merangkul naib johan Pertandingan Anugerah Pasar Bersih Dan Selamat Tahun 2021 Peringkat Negeri Melaka, baru-baru ini.
Pertandingan itu diadakan Sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.
Yang Dipertua MPJ, Datin Sapiah Haron berkata, anugerah tersebut menzahirkan komitmen MPJ terhadap aspek kebersihan, keselamatan, sosial serta alam sekitar.
Menurutnya, dengan pengiktiran tersebut sekali gus meningkatkan lagi prestasi MPJ selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
“Anugerah ini juga turut menjadi kayu ukur kepada tahap kecemerlangan jabatan. Menerusi anugerah ini juga, MPJ perlu memastikan apa yang dicapai harus dikekalkan untuk peringkat seterusnya.
“Malah kita perlu meningkatkan peranan supaya memperoleh pelbagai pengiktirafan yang mencerminkan kualiti MPJ itu sendiri,” katanya.
Jelas Sapiah, usaha dipamerkan kakitangan MPJ amat membanggakan berikutan kerja keras itu membantu memberi perkhidmatan terbaik sepanjang mereka bersama dalam jabatan tersebut.
“Tanpa usaha dan kerjasama semua kakitangan MPJ, mustahil untuk kita memperolehi pengiktirafan ini. Saya harap dengan anugerah ini, semua warga kerja MPJ lebih komited dalam mengekalkan kualiti perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya di daerah Jasin,” katanya.
Dalam pada itu, Sapiah turut menyeru kepada masyarakat khususnya di daerah Jasin agar menitikberatkan aspek kebersihan walau di mana berada kerana kebersihan mencerminkan sikap dan perilaku seseorang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.