Pekerja hotel dipenjara 7 tahun lakukan amang seksual
AYER KEROH 16 Dis – Seorang pekerja hotel dipenjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual ke atas seorang remaja lelaki.
Hakim Elesabet Paya Wan, menjatuhkan hukuman itu keatas tertuduh Malek Saifullizan Md Husin, 35, sejurus tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 15 tahun dalam kejadian di sebuah hotel di Taman Melaka Raya, kira-kira jam 5.30 petang, pada 9 Disember 2021.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahida Mohamad memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh selain perbuatan itu mendatangkan kesan trauma kepada mangsa.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan kerana perlu menanggung ibu dan kakak yang sakit.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh tahun dan perlu menjalani pengawasan selama dua tahun sejurus tamat hukuman penjara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.