UMNO Baruh Alai ‘belanja’ anak muda main boling
AYER KEROH 16 Dis – Seramai 50 peserta berentap dalam kejohanan boling tertutup anjuran UMNO Baruh Alai bertempat di Pusat Boling Antarabangsa MITC (MIBC), di sini, malam tadi.
Ketua UMNO cawangan Baruh Alai Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, kejohanan itu menampilkan jentera-jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang majoritinya terdiri dalam kalangan anak muda.
Beliau berkata, penganjuran yang menampilkan pelbagai hadiah berupa barangan elektrik bernilai RM15,000 itu juga merupakan usaha bagi menghargai sumbangan wira tidak didendang (pemuda) yang banyak membantu kejayaan UMNO menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
“Uniknya pemuda-pemuda ini tertarik dengan cara kita mendekati mereka sewaktu pilihan raya. Jadi kejohanan sukan seperti inilah menjadi antara cara kita mendekatkan lagi dengan golongan muda.
“Tidak dinafikan peranan orang muda banyak membantu kejayaan kita yang mana boleh dikatakan 90 peratus kejayaan kita pada PRN lalu disumbangkan golongan ini,” katanya ketika ditemui pada kejohanan tersebut.
Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, selain boling, pihaknya juga bakal menganjurkan satu lagi kejohanan sukan bola sepak sawah dalam masa terdekat.
Katanya, kejohanan berkonsep unik itu merupakan ilham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sendiri dalam mendekati dan menghargai golongan muda di kawasan Telok Mas dan Kota Melaka.
Sementara itu, penganjur kejohanan, Mohd Halim Daud, 34 berkata, acara sukan seperti boling, sepak takraw dan futsal cukup sinonim dengan golongan belia Baruh Alai sejak dahulu lagi.
Beliau yang juga Pemuda UMNO Baruh Alai berkata, selain menghargai sumbangan, kejohanan itu juga berupaya mengeratkan hubungan pemimpin setempat dengan anak muda dalam bersama-sama memajukan negeri ini.
“Memang setiap tahun kita anjurkan kejohanan sukan dan ia sentiasa mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada golongan belia.
“Insya-Allah, selepas ini, Pemuda UMNO Baruh Alai bercadang untuk mengembalikan semula kejohanan sepak takraw Piala Isa yang cukup sebati dengan masyarakat di sini.
“Selepas empat atau lima tahun tidak diadakan, ia akan akan diadakan kembali bagi menghidupkan semula tradisi sukan di kawasan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.