Sorting by

×

312 meteor Geminids dilihat dengan jelas di Pulau Pinang

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

BALIK PULAU, 15 Dis – Fenomena kejadian alam, pancuran meteor Geminids yang sentiasa dinanti-nantikan pada Disember setiap tahun dapat dilihat dengan jelas dari Balai Cerap (peribadi) Lim Choon Kiat di Balik Pulau awal pagi tadi.

Presiden Pertubuhan Astronomi Pulau Pinang Dr Chong Hon Yew berkata ahli, pelajar mahupun peminat astronomi sentiasa menantikan kehadiran Disember kerana ia merupakan tempoh pancuran meteor paling aktif sepanjang tahun, sekitar 312 meteor Geminids termasuk lima meteor rawak dan satu bola api berona biru dapat dilihat dengan jelas.

Menurutnya, meteor Geminids terhasil daripada Asteroid 3,200 Phaethon yang terbakar ketika memasuki atmosfera bumi, menghasilkan pancuran cahaya yang juga dikenali sebagai ‘tahi bintang’ dalam kalangan masyarakat.

“Antara kelainan pancuran meteor pada Disember 2021 yang boleh dilihat pada kali ini adalah kita juga menyaksikan lima meteor rawak ketika pancuran meteor Geminids. Geminids merupakan meteor dari arah utara menghala ke selatan tetapi meteor rawak ini pula muncul dari arah selatan menghala ke utara.

“Melalui pengamatan saya, meteor rawak hanya boleh dilihat beberapa kali dalam jangka masa satu bulan namun pada awal pagi ini, kita berjaya menyaksikan lima. Dalam masa yang sama, kita juga berjaya melihat satu bola api berona biru yang sangat terang pada pukul 4.23 pagi,” katanya ketika membuat pemerhatian meteor Geminids di sini awal pagi tadi.

Menurut Chong, ahli-ahli Pertubuhan Astronomi Pulau Pinang telah memulakan persiapan mencerap meteor Geminids bermula 10 malam (13 Dis) namun gagal merekodkan sebarang penampakan meteor akibat langit diliputi awan tebal namun pada semalam, kumpulannya merekodkan 150 pancuran meteor Geminids.

“Dianggarkan oleh International Meteor Organization (IMO), waktu kemuncak pancuran adalah pada pukul 3 petang waktu tempatan. Sayangnya, kita tidak dapat melihatnya kerana waktu siang namun negara seperti Amerika Syarikat berpeluang melihatnya bermula sekitar 2 pagi,” kata bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Chong berkata rekod tertinggi pancuran meteor Geminids di Pulau Pinang dicatatkan pada 2004 dengan 1,103 pancuran pada satu malam dan rekod tersebut masih belum dipecahkan hingga sekarang.

Beliau berkata antara punca kekurangan penampakan meteor tersebut adalah disebabkan cuaca dan kehadiran bulan.

“Bulan pada malam tadi (14 Dis) adalah bulan sebelum purnama, ia sangat terang dan dijangka terbenam pada pukul 7.30 pagi. Sekiranya langit cerah dengan cahaya bulan, pancuran meteor sukar untuk dilihat,” katanya.

Sehingga pukul 5.30 pagi, kira-kira 20 pemerhati daripada pertubuhan, pelajar-pelajar USM serta orang awam melakukan aktiviti cerapan fenomena pancuran meteor Geminids itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1137
Kongsi :
Previous post Empat Mahasiswa UTeM rangkul anugerah di WorldSkills Malaysia 2021
Next post 100 peratus pekerja SWM lengkap vaksin
Ubah saiz-+=