Sorting by

×

13.1 peratus remaja, wanita B40 tidak mampu beli tuala wanita

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Kajian dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkaitan kemiskinan haid melibatkan remaja perempuan dan wanita daripada kumpulan B40 di sekitar ibu negara mendapati 13.1 peratus daripada golongan itu tidak mampu membeli tuala wanita berikutan harga yang mahal.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata 16.4 peratus daripadanya pula menyatakan mereka mengalami kesulitan untuk membeli produk pengurusan haid itu.

“Kajian rintis ini dilaksanakan melibatkan remaja perempuan dan wanita berusia 13 hingga 24 tahun di 13 komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan dua institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk T. Mohan yang ingin tahu keadaan sebenar masalah kemiskinan haid di negara ini serta rancangan jangka panjang kerajaan dalam mengatasi masalah tersebut.

Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila perempuan atau keluarga mereka tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan.

Bagi mengatasi masalah itu, Siti Zailah berkata KPWKM mengadakan program kesedaran dan program pemberian kit kebersihan kepada 130,000 remaja selain program pekerti sebagai usaha mendidik remaja tentang pendidikan kesihatan.

“Program pengagihan (kit pengurusan haid) dilaksanakan ini melibatkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun melalui sekolah-sekolah yang melibatkan 1,105 sekolah (di seluruh negara),” katanya.

Selain itu, beliau berkata KPWKM turut mengadakan program bagi membantu golongan remaja mengurus rutin kebersihan serta kesihatan fizikal dan mental terutama semasa pandemik COVID-19.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

937
Kongsi :
Previous post MAFI keluarkan 166,769 surat kebenaran rentas daerah, negeri ketika PKP
Next post Jualan Keluarga Malaysia beri potongan harga sehingga 50 peratus – KPDNHEP Melaka
Ubah saiz-+=