Pemilihan UMNO mungkin diadakan Nov tahun depan – Mohamad
SEREMBAN, 12 Dis – Pemilihan UMNO bagi penggal 2021/2023 mungkin diadakan pada November tahun depan, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, ia perlu diadakan sebelum tamat tempoh semasa iaitu pada Disember tahun depan.
Justeru, pemilihan peringkat cawangan perlu diadakan awal iaitu selewat-lewatnya pada Julai, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Rembau di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan beberapa UMNO bahagian yang meminta pemilihan parti diadakan sekurang-kurangnya setahun sebelum berlangsung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ditanya mengenai sama ada terdapat usul supaya lima jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang pada Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini, Mohamad berkata tiada cadangan seumpama itu diterima setakat ini.
Sementara itu, mengenai permohonan UMNO Selangor yang mahu diberi autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN), Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat pusat.
“Perkataan autonomi itu besar, kalau mahu bersama PAS tiada isu, kenapa perlu minta autonomi…minta untuk berunding terus dengan PAS, itu tidak mengapa.
“Tiada arahan daripada parti untuk kita memutuskan hubungan atau mengkaji semula dengan PAS,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berharap pucuk pimpinan tertinggi parti itu memberi autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan PAS di negeri itu menerusi MN kerana kerjasama antara UMNO dan PAS di negeri itu ini amat baik dan dilihat lebih berkesan.
Mohamad berkata hubungan UMNO dan PAS dalam MN masih seperti biasa dan tiada keputusan dibuat mengenai masa depan kedua-dua parti itu.
“Orang ingat MN itu satu pertubuhan berdaftar, kita tidak berdaftar, ia hanya sebagai platform untuk kita menjalinkan kerjasama. Setakat ini UMNO tidak ada memutuskan apa-apa hubungan, begitu juga PAS belum memutuskan apa-apa hubungan, jadi kita macam biasa.
“MN ini persefahaman untuk menyatu padukan umat Melayu dan Islam, tiada ikatan perjanjian yang mengikat (kedua-dua parti) tetapi atas persefahaman supaya kita orang Melayu dan Islam jangan berpecah, bukan sahaja dalam politik tetapi dalam banyak hal lagi,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.