Tourism Malaysia lancar pertandingan Cabaran Foto 2021
Penyertaan dibuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas melibatkan empat kategori iaitu “Extreme Shot” (tangkap foto ekstrem), “Nature, Arts and Culture” (alam semula jadi, seni dan budaya), “Human Interest” (unsur kemanusiaan), serta “Past and Present” (dahulu dan sekarang).
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata pertandingan ini adalah percuma dan peserta bebas menggunakan apa saja jenis kamera yang dirasakan sesuai untuk merakamkan imej pilihan mereka.
“Justeru kita menjangkakan kadar penyertaan yang menggalakkan, malah tempoh pertandingan yang agak panjang menyediakan lebih peluang kepada peminat fotografi untuk merancang perjalanan mereka dalam meneroka destinasi pelancongan di negara ini berserta keunikan ciri artistik dan budaya mereka.
Para peserta akan bertanding untuk hadiah bernilai sehingga RM80,000 membabitkan pakej percutian dan peralatan fotografi. Untuk setiap kategori, terdapatnya pemenang hadiah untuk tempat pertama, tempat kedua dan tempat ketiga selain tiga penerima hadiah sagu hati,” katanya dalam ucapan pelancaran pertandingan itu di AEON AU2 Setiawangsa di sini, hari ini.
Zainuddin berkata Cabaran Foto 2021 juga bertujuan mencungkil bakat fotografi selain menyemai kreativiti dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan rakyat.
“Seni fotografi sangat dekat dengan sektor pelancongan. Oleh hal demikian, kami dapat menggalakkan orang ramai pergi bercuti dan menikmati percutian mereka di Malaysia menerusi gambar-gambar menarik yang diambil oleh mereka yang terbaik,” katanya.
Maklumat lanjut berkenaan syarat pertandingan dan borang penyertaan boleh diperoleh dengan mengakses lawan sesawang rasmi Tourism Malaysia di www.malaysia.travel. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.