ATM tidak terima laporan rasmi ancaman penggodam luar – Hishammuddin
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dakwaan itu datang daripada sebuah firma keselamatan siber persendirian berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Kita tidak boleh bertindak berdasarkan kepada sebarang dakwaan syarikat persendirian. Kementerian saya (Kementerian Pertahanan) menerusi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan dan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM bagaimanapun sentiasa proaktif dalam memantau apa jua kemungkinan penggodam menggodam sistem kita,” katanya pada sidang media pasca Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari di Wisma Perwira ATM di sini.
Ditanya sama ada dakwaan tersebut merupakan langkah negara luar selaku kuasa besar dalam merencana geopolitik semasa, Hishammuddin tidak menolak kemungkinan itu.
“Mungkin geopolitk…dan apa jua kenyataan satu kuasa besar akan mendapat reaksi daripada kuasa besar lain jadi negara kecil seperti kita terpaksa berhadapan dengan situasi ini secara tidak langsung.
“Namun tugas saya adalah untuk melihat kepada keselamatan dan pertahanan kita secara realiti. Tidaklah untuk terlalu mengikut geopolitik itu dan pertimbangan pihak tertentu namun kita sentiasa mempunyai agensi yang ditugaskan serta kepakaran bagi menentukan kesahihan dakwaan dibuat mereka,” katanya.
Baru-baru ini, media asing melaporkan penggodam dari China didakwa kini menyasarkan laman siber angkatan tentera dan jabatan kerajaan beberapa negara Asia Tenggara.
Menurut laporan media berkenaan, siasatan firma berpangkalan di Amerika Syarikat itu mendapati kebanyakan negara sasaran adalah yang ada kaitan dengan tuntutan wilayah di Laut China Selatan atau projek infrastruktur strategik. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.