Melaka cari kaedah terbaik bantu B40 miliki rumah

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 4 Ogos – Kaedah terbaik sedang dirangka kerajaan negeri bagi membantu golongan B40 memiliki rumah menerusi Tabung Dana Harta Bumiputera di bawah Melaka Finance House (MFH).

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, bagaimanapun perkara itu perlu diusulkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang bagi mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum ia diumumkan semula.

Ujarnya, kaedah yang digunapakai perlu ditambah baik berbanding sebelum ini merupakan perkara penting membantu golongan tersebut memiliki rumah pertama.

“Pinjaman diperingkat awal untuk perumahan memang kita kaji akibat kenaikan barang dan sebagainya, dulu kita kata RM50,000, mungkin kita akan naik RM80,000.

“Apa pun ada berita gembira tapi tunggulah sehingga kita dapat keputusan, walaupun ia perkara baik namun mesti dipersetujui oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Meraikan Sukarelawan Penyediaan Pakaian Pelindungan Diri (PPE) di Dewan Seri Bendahara, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri (Dr) Hasim Hasan, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Malaysia, Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Rahmad Mariman.

Menurut Sulaiman, kesediaan sukarelawan membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan perkhidmatan menjahit PPE ialah sikap yang harus dipuji.

Jelasnya, seramai 85 sukarelawan terlibat termasuk peserta kelas jahitan, ahli jawatankuasanya dan kakitangan KEMAS berjaya menyiapkan 3,084 unit PPE dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac.

“Hasil daripada kerja amal tersebut kemudiannya itu telah diserahkan dan digunakan oleh petugas barisan hadapan terutama di klinik kesihatan dan hospital yang ditetapkan.

“Saya berharap semangat kesukarelawan dan kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Views:

499
Kongsi :
Previous post Jalur Gemilang berkibar di lokasi pelancongan Melaka
Next post Covid-19 kembali catat angka terendah
Ubah saiz-+=