Hatrik Safawi bantu Harimau Malaya benam Laos 4-0
KUALA LUMPUR, 9 Dis – Aksi cemerlang pemain sayap Muhammad Safawi Rasid yang meledak hatrik berjaya membantu Malaysia membelasah Laos 4-0 untuk melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan B Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura hari ini.
Pujian harus diberikan kepada Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe apabila tindakannya yang merombak bahagian tengah dan serangan, membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya menyajikan corak serangan yang lebih efektif dalam pertembungan dengan Laos, berbanding ketika menumpaskan Kemboja 3-1 dalam aksi pembukaan Isnin lepas.
Cheng Hoe menggugurkan Putera Nadher Amarhan Maderner, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan pemain naturalisasi Guilherme de Paula untuk menurunkan pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan penyerang kelab Belgium KV Kortrijk Luqman Hakim Shamsudin hari ini.
Tatkala Laos terlalu ‘ghairah’ mengasak kubu negara dengan melancarkan tiga percubaan ke gawang gol dalam tempoh lima minit pertama perlawanan, mereka akhirnya terperangkap menerusi serangan balas skuad kebangsaan apabila lorongan Arif Aiman dari sebelah kiri padang berjaya ditolak masuk Safawi untuk membuka tirai jaringan pada minit ketujuh.
Tiga minit kemudian, Malaysia sepatutnya berpeluang melebar kedudukan namun tandukan Muhammad Syafiq Ahmad dan tindakan susulan ketua pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak hanya singgah di palang gol.
Safawi menggandakan jaringan Malaysia apabila tandukannya, hasil sepakan penjuru Arif Aiman dari sebelah kiri padang, menewaskan penjaga gol Laos Keo Oudone Sovannasangso pada minit ke-34Â dan kedudukan itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.
Bersambung babak kedua, Malaysia yang menghuni ranking ke-154 dunia, terus menekan pasukan bimbingan V. Selvaraj itu dan hampir menambah jaringan namun rembatan deras dari luar kotak penalti oleh pemain tengah berpengalaman Baddrol Bakhtiar sedikit tersasar di sebelah kiri gol pada minit ke-56 manakala sepakan percuma Safawi pula ditepis keluar Keo pada minit ke-59.
Skuad kebangsaan terus buntu untuk mengetuk pintu Laos apabila penyerang Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, yang masuk menggantikan Luqman, gagal menambah jaringan apabila dua percubaannya dalam masa seminit masing-masing ditepis Keo pada minit ke-72 dan terkena tiang pada minit ke-73.
Namun, pemain pertahanan Shahrul Saad yang naik ke bahagian depan dalam satu serangan balas bijak menghidu hantaran mengelirukan Baddrol untuk tenang menyumbat gol ketiga negara pada minit ke-78.
Safawi kemudian melengkapkan hatriknya yang juga gol keempat peribadinya dalam kempen kali ini, menerusi percubaan leret ke pintu kanan gol lawan dua minit kemudian selepas menyambut hantaran dari tengah padang pemain gantian, R. Kogileswaran.
Kemenangan berharga ke atas pasukan di tangga ke-185 dunia itu sudah semestinya memberikan suntikan motivasi buat Harimau Malaya apabila bakal berdepan juara bertahan Vietnam Ahad ini sebelum menamatkan saingan Kumpulan B menentang Indonesia pada 19 Dis, dengan hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.