Teratai tasik jadi tarikan terbaharu di Taman Rekreasi Bukit Beringin

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

LENDU 9 Dis – Tasik Taman Rekreasi Bukit Beringin di sini yang sebelum ini kering kontang, kini dipenuhi pokok teratai berikutan musim hujan sejak tiga minggu lalu.

Keindahan di tasik berkenaan menarik penggemar buah teratai untuk hadir, bukan setakat bagi menikmati keindahan pemandangan, malah memetik teratai untuk dimakan.

Bagi pekerja syarikat pembersihan, Amran Sharif, 53, dan rakannya, Mohd Rafiz Sidek, 35, kelazatan buah teratai menarik minat mereka untuk hadir di tasik berkenaan hari ini.

“Saya sering datang ke sini untuk memancing ikan haruan, puyu dan keli dan setiap kali ke sini, pasti saya akan memetik buah teratai untuk saya makan.

“Buah teratai bukan setakat lemak, malah seakan-akan ada masin sedikit dan ia menjadi kegemaran saya sejak kecil,” katanya ketika ditemui di tasik itu.

Dia berkata, pokok teratai tidak mampu subur di kawasan tasik atau paya atau kolam yang terlalu dalam, sebaliknya tumbuh subur di dalam tasik yang kadar kedalamannya kira-kira 0.3 meter (satu kaki).

AMRAN mempamerkan buah teratai yang diambil dari
dalam tasik Taman Rekreasi Bukit Beringin, Masjid Tanah.

Mohd Rafiz berkata, tasik berkenaan sering dikunjungi pekerja asing, terutama Vietnam yang menggemari keenakan buah teratai.

“Apabila saya tanya mengapa mereka gemar buah teratai, mereka menyatakan di negara mereka, buah itu adalah antara buah yang mudah didapati dan dicampur dengan minuman buah laici.

“Selain buah teratai, bunga pokok teratai menjadi kegemaran penganut agama Hindu untuk memetiknya sebagai antara bahan yang digunakan dalam upacara sembahyang di kuil,” katanya.

Dia berkata, apabila musim hujan berakhir pada bulan Feb, lazimnya tasik berkenaan akan kering dan pokok teratai mati begitu sahaja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4801
Kongsi :
Previous post Kerajaan tiada hasrat tarik lesen jual minuman keras – Tengku Zafrul
Next post Pernah ‘jatuh’ bukan penghalang bangkit jadi graduan terbaik
Ubah saiz-+=