Bilangan penganggur di Malaysia menurun 3.4 peratus pada Oktober 2021
PUTRAJAYA, 8 Dis – Bilangan penganggur di Malaysia menurun 3.4 peratus kepada 705,000 orang pada Oktober tahun ini daripada 729,600 orang pada bulan sebelumnya, susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan kembali beroperasi, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Oktober 2021.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia itu, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 15.55 juta orang pada Oktober berbanding 15.46 juta orang pada September, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.3 mata peratus kepada 65.8 peratus.
Bilangan tenaga buruh meningkat 0.4 peratus pada Oktober 2021 kepada 16.26 juta orang berbanding 16.19 juta orang pada September, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Oktober 2021 meningkat 0.2 mata peratus kepada 68.8 peratus berbanding 68.6 peratus pada September.
Ketua Perangkawan negara Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata kedudukan tenaga buruh semakin baik pada Oktober 2021 adalah kerana sebahagian besar negeri telah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan peningkatan kadar vaksinasi dan pengurangan bilangan kes harian COVID-19.
“Perkembangan yang baik ini telah membawa kepada pembukaan semula aktiviti ekonomi termasuk kebenaran perjalanan rentas negeri.
“Di samping itu, banyak destinasi pelancongan domestik telah dibuka kepada individu yang lengkap vaksinasi sekali gus meningkatkan aktiviti perjalanan dan pelancongan domestik pada bulan tersebut,” katanya.
Mengenai situasi pengangguran pada Oktober 2021, Mohd Uzir berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.6 peratus daripada jumlah penganggur, dan kumpulan itu menurun sebanyak 3.5 peratus kepada 589,500 orang daripada 611,000 orang pada September 2021.
Daripada jumlah penganggur yang aktif itu, 55.5 peratus adalah mereka yang menganggur kurang dari tiga bulan manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi 7.8 peratus, katanya.
Mohd Uzir berkata penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan tersedia menurun sebanyak 2.7 peratus pada Oktober kepada 115,400 orang daripada 118,700 orang pada September.
Menurutnya, kadar pengangguran golongan belia berumur antara 15 hingga 30 mencatatkan penurunan sebanyak 0.4 mata peratus bulan ke bulan kepada 8.1 peratus pada Oktober berbanding 8.5 peratus pada September.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.