‘Saya amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini- Najib
KUALA LUMPUR 8 Dis- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan kekecewaannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitannya terhadap kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau dalam sidang media atas taliannya menerusi Facebook miliknya hari ini memaklumkan sudah memberi arahan kepada pasukan peguam belanya untuk menfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.
Tegasnya, sebagai orang Islam beliau dia tidak bersalah seperti yang dipertuduhkan.
“Pertama saya nak nyatakan bahawa saya amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan berikutan keputusan itu.
“Saya telah minta peguam untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan segera,” katanya dalam sidang media secara dalam talian di laman Facebook rasminya hari ini.
Sidang media terbabit dibuat sejurus selepas tiga hakim Mahkamah Rayuan sepakat mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Panel hakim terbabit dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil juga sebulat suara mengekalkan hukuman yang ditetapkan ke atas Najib.
Semasa prosiding secara hibrid pagi tadi, wajah Najib kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan Abdul Karim.
Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.
Mengulas kenyataan hakim bahawa apa yang berlaku itu mengaibkan negara, Najib berkata dia juga kecewa dengan apa yang disebutkan.
“Saya sangat kecewa dengan itu,” katanya.
Najib turut menyebut sepanjang tempoh menjadi perdana menteri banyak kejayaan dilakukan untuk Malaysia termasuk aset negara yang berjumlah RM2 trilion.
“Jika anda bercakap mengenai aib negara, ada isu skandal lain seperti skandal berkaitan forex (tukaran mata wang asing) yang menyebabkan kerugian RM31 bilion.
“Bukankah itu jauh lebih besar?” katanya yang merujuk kepada isu yang melibatkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Sebelum ini Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati dia bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.
“Sebagai seorang yang beragama Islam saya nak nyatakan saya tidak tahu, tidak minta, tidak arahkan sesiapa untuk pindah RM42 juta itu ke akaun peribadi saya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.