Sorting by

×

MPAG kutip RM16.52 juta cukai taksiran harta bagi tahun 2021

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

ALOR GAJAH: Hanya RM16.52 juta cukai taksiran harta diperoleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) tahun ini, berbanding RM17.5 juta tahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertuanya, Mohd Fadhil Hassan menjelaskan, sejajar pelbagai inisiatif diambil kerajaan negeri bagi mengurangkan beban anggota komuniti yang terkesan akibat PKP, MPAG tidak mengenakan denda terhadap pemilik premis yang gagal menjelaskan cukai berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini, pemilik premis yang lewat atau gagal menjelaskan cukai berkenaan atau yang lebih dikenali sebagai cukai pintu, akan dikenakan denda namun MPAG memberikan kelonggaran kepada pemilik premis yang terkesan akibat COVID-19.

“Bagaimanapun, jumlah mereka yang lewat menjelaskan cukai atau yang gagal berbuat demikian kurang 10 peratus daripada keseluruhan 46,000 pemilik premis yang diwajibkan menjelaskan cukai masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Penyampaian Hadiah Sempena Program Insentif Cukai Taksiran Harta MPAG 2021 di pejabat MPAG, di sini hari ini.

Seramai lima pemilik premis yang membayar cukai berkenaan tanpa tunggakan mendapat hadiah peti televisyen, lima (basikal) dan seorang (motosikal Honda EX5).

Turut hadir, Setiausaha MPAG Datuk Salleh Mohd Som.

Bagaimanapun, Mohd Fadhil mengingatkan pemilik premis supaya segera menjelaskan cukai berkenaan kerana negeri ini sudah memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan semua sektor ekonomi sudah boleh digerakkan.

Malah kebanyakan anggota komuniti sudah mampu bekerja semula berbanding ketika PKP dilaksanakan.

Beliau berkata, pembayaran cukai taksiran penting bagi membantu MPAG memulangkan semula hasil berkenaan kepada anggota komuniti dengan melaksanakan kerja pembersihan kawasan, pengindahan, pembaikan jalan, longkang dan seumpamanya.

Katanya, MPAG mencatatkan seramai 15,471 individu dan syarikat yang dikategorikan sebagai tidak pernah lewat menjelaskan cukai taksiran dan ia dijangka meningkat berikutan kempen menggalakkan pemilik premis membayar cukai itu mengikut tempoh ditetapkan.

Sementara itu, pemenang hadiah motosikal, Serena Teo yang mewakili syarikatnya, Yumei Technologies Sdn Bhd berkata, syarikat berkenaan tidak pernah culas daripada menjelaskan cukai itu.

“Kami diberi pilihan menjelaskan cukai taksiran harta lima rumah yang kami jadikan asrama pekerja enam bulan sekali tetapi kami memilih menjelaskan cukai setahun sekali,” katanya.

Selain itu, syarikat itu juga tidak pernah mencatatkan tunggakan cukai taksiran harta sejak mula beroperasi beberapa tahun lalu, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1044
Kongsi :
Previous post Solusi isu banjir di Sungai Putat, Taman Bukit Beruang Bistari
Next post 87 individu terima Darjah, Bintang Kebesaran dan Pingat Selangor
Ubah saiz-+=