Singapura sahkan dua kes import varian Omicron
SINGAPURA, 7 Dis – Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Isnin mengesahkan varian Omicron dalam dua kes import pertama COVID-19, yang pada awalnya disyaki sebagai pembawa varian itu.
Dalam kemas kini harian mengenai COVID-19 malam tadi, MOH memaklumkan pengesahan itu disusuli keputusan penjujukan genom keseluruhan untuk kes berkenaan oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional republik itu.
“Kedua-dua pesakit sudah lengkap divaksin, dan mempunyai simptom ringan, batuk dan tekak gatal. Mereka diasingkan sebaik tiba di Singapura pada 1 Dis, dan tidak berinteraksi dengan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
MOH pada 2 Dis mengumumkan ia mengesan dua kes import COVID-19 yang dilabel sebagai Kes 271487 dan 271598 yang positif dalam ujian awal untuk varian itu.
Kedua-dua kes itu tiba dari Johannesburg dengan menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ479 pada 1 Dis.
Pada Ahad (5 Dis) MOH mengesan satu lagi kes import COVID-19 yang positif ujian awal untuk varian Omicron.
Kes itu berada dalam penerbangan yang sama dengan dua kes pertama.
Sehingga 5 Dis, bilangan individu lengkap vaksin atau menerima dua dos vaksin COVID-19 adalah 96 peratus daripada populasi yang layak di negara itu.
Sebanyak 87 peratus populasi negara itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 28 peratus menerima suntikan penggalak.
Sehingga Isnin 6 Dis, Singapura melaporkan 269,873 kes COVID-19 dengan 763 kematian. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.