Sorting by

×

Semua pemimpin politik utama Sarawak hadapi pertandingan pelbagai penjuru

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

KUCHING, 6 Dis – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Dis ini bakal menyaksikan kesemua pemimpin politik utama negeri berdepan persaingan pelbagai penjuru di kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Selepas proses penamaaan calon selesai hari ini, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap Ketua Menteri akan menerajui gabungan empat parti untuk mempertahankan pemerintahan kerajaan negeri manakala pemimpin parti pembangkang turut berdepan dengan saingan daripada sekurang-kurangnya tiga pencabar.

Abang Johari yang juga peneraju parti gabungan GPS akan bertanding kerusi DUN Gedong untuk kali pertama dan berdepan cabaran tiga penjuru apabila ditentang calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Mohamad Sofian Fariz Sharbini, Kamal Bujang (Amanah) dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango.

TAN Sri Abang Johari Tun Openg

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing, sekutu GPS, menghadapi pertandingan lapan penjuru untuk kerusi DUN Dudong yang turut melibatkan DAP, PSB, PBK, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Parti Bansa Dayak Sarawak baru (PBDSB) dan dua calon bebas.

Calon-calon lawannya terdiri dari Paul Ling (DAP), Wong Hie Ping (PSB), Jane Lau Sung Yee (PBK), Josephine Lau Kiew Peng (Aspirasi), Julius Enchana (PBDSB), Fadhil Mohd Isa (Bebas) dan Engga Uchat (Bebas).

Di DUN Batu Kawah pula, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menghadapi saingan empat penjuru melibatkan Fong Pau Teck daripada Aspirasi, Chai Kueh Khun (PBK) dan wakil DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Kerusi DUN Baleh yang sebelum ini diduduki presiden sebuah lagi parti komponen GPS, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Masing yang meninggal dunia 31 Okt lalu bakal menyaksikan persaingan empat penjuru melibatkan calon parti itu, Nicholas Kudi Jantai Maseng, Kenneth Usang George (DAP), Sukarno Layau (PBK) dan Koh Kumbong (PSB) untuk kerusi itu.

Dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berdepan cabaran tiga penjuru masing-masingnya di DUN Bukit Saban dan DUN Bukit Sari.

Lawan Uggah adalah Mikail Mathew Abdullah (PKR) dan Andria Dundang @ Andria Gelayan (PSB), sementara pencabar Awang Tengah adalah Riyah Basrah (PBK) dan Alias Mail (PSB).

Bagi pemimpin pembangkang pula, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen terlibat dalam pertandingan empat penjuru melibatkan Presiden Aspirasi, Soo Lina, Datuk Wee Hong Seng (SUPP) dan Raymond Thong Ee Yu (PBK) untuk kerusi DUN Padungan.

Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh pula berhadapan empat pencabar di DUN Bawang Assan yang terdiri dari Robert Lau Hui Yew (SUPP), Michelle Ling Shyan Mih (PBK), Amy Lau Bik Yin (DAP) dan Ricky Enteri (Bebas).- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

604
Kongsi :
Previous post PRN Sarawak: 349 calon bakal berentap
Next post SPRM lancar lima bilik gerakan beroperasi 24 jam sehari sepanjang PRN Sarawak
Ubah saiz-+=