Undang-undang khusus tangani kes hina mahkamah sedang dikaji – Takiyuddin

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menggubal undang-undang khusus bagi menangani kes-kes menghina mahkamah di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara sedang menjalankan kajian dengan membuat perbandingan terhadap undang-undang di beberapa negara seperti di India, United Kingdom dan Singapura.

“Kerajaan juga akan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh yang berkepentingan mengenai perkara ini,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang khas bagi menangani kes menghina mahkamah yang kian meningkat terutama di media sosial.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Jabatan Peguam Negara telah mengkaji perkara itu sejak tahun 2010 dan draf telah disiapkan pada 2013 serta dirujuk kepada pihak mahkamah.

Takiyuddin berkata pada 2016 draf rang undang-undang itu telah berada di peringkat pengesahan oleh Bahagian Gubalan Jabatan Peguam Negara.

“Namun setahun sebelum itu …Kementerian Dalam Negeri telah membuat pindaan terhadap Akta Hasutan yang juga melibatkan perkara penghinaan mahkamah …oleh itu, perkara berkenaan telah dikaji semula oleh kerajaan untuk menyelaras dengan pindaan yang dibuat,” katanya.

Jelasnya, pada masa ini mahkamah menggunakan prinsip common law, Akta Undang-Undang Sivil 1956 di samping beberapa peruntukan lain seperti Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani kes menghina mahkamah.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Liew berhubung kunjungannya serta beberapa lagi pemimpin menemui Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam keputusan kes mahkamah Ahli Parlimen Pekan itu, Takiyuddin berkata ia bukan sesuatu yang luar biasa.

“Pada masa dahulu ketika (Ahli Parlimen) Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dikenakan tindakan oleh parti dan mahkamah, presiden PAS pada masa itu telah berkunjung menziarahi (Anwar) ketika itu (Ahli Parlimen) Permatang Pauh. Jadi, itu amalan biasa,” katanya.- BERNAMA

Views:

479
Kongsi :
Previous post Garis panduan patuh syariah pengurusan, penempatan mangsa banjir telah siap
Next post COVID-19: Kementerian Pendidikan bincang jika perlu tutup sekolah
Ubah saiz-+=