Sorting by

×

KPM tidak cadang tutup sekolah awal susulan kes COVID-19 – Radzi Jidin

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PENDANG, 5 Dis – Kementerian Pendidikan tidak bercadang untuk menutup sesi persekolahan bagi negeri yang berada di bawah Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) lebih awal daripada tarikh cuti penggal meskipun terdapat jangkitan kes positif COVID-19 dalam kalangan murid.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata setakat ini terdapat 200 kes membabitkan murid dan situasi itu masih terkawal.

Cuti penggal persekolahan bagi negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula Jumaat (10 Dis) minggu hadapan manakala negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan pada Sabtu (11 Dis).

“Jumlah kes aktif itu jauh lebih rendah berbanding dengan angka keseluruhan murid dan pelajar yang hadir ke sekolah (iaitu) sekitar 4.5 juta orang. Jadi kita perlu lihat bahawa dalam konteks kita bergerak ke fasa endemik, ini akan berlaku tetapi kita dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ada, kita cuba kawal supaya tidak akan ada berlaku penularan besar,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Akademi Sains Pendang yang turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim yang juga Ahli Parlimen Pendang.

Radzi berkata keputusan sama ada menutup sesebuah sekolah atau sebaliknya apabila terdapat kes positif COVID-19 adalah bergantung kepada penilaian risiko yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM), selain menegaskan sesi persekolahan secara bersemuka amat penting bagi mengelakkan pelajar tercicir dalam pelajaran.

“Dalam konteks sekarang ini, bila sekolah ditutup untuk tempoh panjang, walau sesi PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) dilaksanakan, namun perasaan murid itu renggang dengan sistem persekolahan… sebab itu walau ramai kata sekolah jangan dibuka dulu tetapi kita dah bincang bahawa amat penting untuk sekolah dibuka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata seramai 11,469 guru atau 55 peratus daripada keseluruhan 20,772 guru yang memohon pertukaran berjaya memperoleh kelulusan bagi tahun ini.

“Esok (Isnin) kita akan umumkan keputusan pertukaran guru dan seperti mana kita tahu isu berkaitan pertukaran ni dah bertahun dibincangkan dan untuk pengetahuan secara umumnya, buat pertama kali pada tahun ini peratusan pertukaran paling tinggi berdasarkan permohonan diterima.

“Kita juga akan bawa masuk pengambilan (guru) baharu seramai 18,702 orang,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

651
Kongsi :
Previous post KBS cari titik noktah isu had umur belia minggu depan
Next post Ifedayo kembali ke pangkuan Melaka United, nasib Zainal masih belum diketahui
Ubah saiz-+=