Pengguna bersyukur masih ada barang makan harga rendah
KUALA LINGGI 5 Dis – “Alhamdulillah, harga barang makan yang lebih rendah amat melegakan saya kerana pendapatan saya tidak seberapa untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Itu kata seorang pengguna Nazri Ibrahim, 56 yang meluahkan rasa syukur terhadap tawaran harga rendah pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekan Kuala Sungai Baru, di sini.
Beliau berkata,bahan makanan yang ditawarkan pada program itu 20 peratus lebih rendah berbanding di pasaran melegakannya dan mengharapkan kerajaan perlu menganjurkan program seumpama itu dengan lebih kerap.
“Sebelum harga naik, saya boleh mendapat seekor ayam seberat dua kilogram (kg) pada harga RM13.60 kerana sekilogram hanya RM6.80 tetapi sekarang sudah naik hingga RM10.
“Saya terpaksa membayar RM20 untuk mendapatkan ayam pada berat yang sama dan ia menyebabkan saya sudah jarang membeli ayam,” katanya ketika ditemui pada PJKM di pekan Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.
Program dua hari bermula semalam itu dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan disertai enam agensi kerajaan dan 13 syarikat yang menawarkan pelbagai bahan makanan, termasuk ayam pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Nazri yang bergantung rezeki pada kerja kampung berkata, beliau teruja untuk mendapatkan tiga ayam yang dijual pada harga RM8 seekor pada program berkenaan.
Suhaila Shawal, 55, berkata dia tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan telur gred C yang dijual pada harga RM11.80 sepapan berbanding RM13 di kedai biasa.
“Sejak dua atau tiga bulan lalu, belanja dapur memang terasa berat kerana harga kebanyakan barang makan melambung dan ia amat membebankan saya,” katanya.
Rahmah Taha, 61, berkata meskipun terpaksa menahan sakit lutut dan tidak mampu berdiri terlalu lama, beliau tetap menggagahkan diri untuk mendapatkan bahan makanan di PJKM kerana harga yang lebih rendah.
“Alhamdulillah, bukannya mudah untuk mendapatkan barang makan pada harga rendah dan saya bersyukur dapat berbelanja di sini hari ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.