Penugasan polis Melaka selaras dengan matlamat kerajaan negeri
SERI NEGERI 6 Dis – Bertugas dalam keadaan mencabar dengan penularan COVID-19 dan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, itu sedikitpun tidak menjejaskan motivasi dan matlamat pasukan Polis Kontinjen Melaka.
Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, hasil semangat dan komitmen ditunjukkan oleh pegawai dan anggotanya membawa pasukan itu mencapai matlamat selaras dengan matlamat kerajaan negeri.
Beliau berkata, bila berlakunya pandemik khususnya dan juga PRN setiap anggota polis bertugas menjalankan tugasan melebihi 12 jam sehari.
“Saya bersyukur walaupun dalam keadaan amat mencabar ini saya dapat melihat taat setia, motivasi, disiplin dan matlamat pasukan polis Melaka selaras dengan matlamat kerajaan negeri.
“Kita berusaha mengekang supaya COVID-19 tidak merebak jadi saya rasa kalau kita tengok dari data yang ada saban hari setakat ini boleh katakan kita berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka, yang membawa gelaran Datuk Wira hari ini.
Menurut beliau, kejayaan dicapai pasukan polis Melaka juga adalah hasil kerjasama dengan agensi penguatkuasa lain yang turut sama memberi komitmen tinggi.
“Kejayaan ini dikongsi bersama agensi penguatkuasaan lain antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri yang bekerjasama dengan pasukan polis.
“Ini bagi memastikan Melaka tidak menjadi kluster baharu merebaknya COVID-19 akibat daripada PRN,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.