Pemergian Sabaruddin Chik satu kehilangan besar – PM Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian Tan Sri Sabbaruddin Chik sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja buat dirinya tetapi juga buat negara.
“Sedih dan duka apabila menerima perkhabaran, seorang sifu dan mentor politik saya, Tan Sri Sabbaruddin Chik telah meninggal dunia meninggalkan kita semua selama-lamanya.
Allahyarham adalah episod penting bagi sejarah perjuangan saya dalam dunia politik (dan) akan selamanya menjadi kenangan dan ingatan sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau malam ini.
Sabbaruddin yang akan menyambut ulang tahun ke-80 pada 11 Dis ini, menghembuskan nafas terakhir pada 7.45 malam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak Ahad lepas.
Ismail Sabri berkata Allahyarham melantik beliau sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada 1987 ketika beliau berusia 27 tahun, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.
“Pada tahun 1995, saya memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham.
Ketika itulah, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh berkat tunjuk ajar Allahyarham,” katanya.
Beliau berkata Allahyarham adalah seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah sangat tekun dan berwibawa dalam melaksanakan amanah untuk rakyat dan negara.
“Saya berdoa agar seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menerima kehilangan besar ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.