Ular sawa batik sempat telan ayam sebelum ditangkap

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

DURIAN TUNGGAL 3 Dis – Seorang pesara tentera terkejut apabila menemukan ular sawa batik sepanjang dua meter yang kekenyangan selepas menelan seekor ayam di sebuah reban berhampiran rumahnya di Kampung Pulau Durian Tunggal pagi tadi.

Kahar Khalil, 70, menyedari kejadian itu ketika mahu memberi makan kepada ayam ternakannya di reban miliknya itu kira-kira pukul 7.30 pagi.

“Ketika mahu memberi makanan kepada ayam, saya terpandang seekor ular sawa batik berlingkar dalam reban dan dilihat kekenyangan setelah menelan seekor ayam berdasarkan bentuk benjolan pada fizikal ular tersebut.

“Namun, saya berpura-pura tidak menyedari kehadiran ular itu walaupun saya merasa panik sebelum beredar meninggalkan reban untuk menghubungi talian kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Kata Kahar, dia sempat memeriksa keadaan ayam ternakannya dalam reban dan mendapati seekor ayamnya yang sedang mengeram telur telah hilang, dipercayai telah dibaham oleh ular sawa tersebut.

Ujarnya, kejadian serangan ular sawa tersebut pagi tadi ke bukan yang pertama sebaliknya telah berlaku kali keempat pada tahun ini.

“Kalau dihitung sudah berbelas kali kejadian ular sawa membaham ayam ternakan saya namun pagi tadi, ular hanya sempat memakan seekor ayam berbanding sebelum ini, kadang-kadang dua hingga ekor ayam atau itik ternakan saya dimakan oleh ular sawa.

“Selain ayam dan itik, angsa ternakan saya juga pernah dibaham ular, kalau dulu ternakan mencecah sehingga 200 ekor tetapi hari ini, semakin berkurangan sekitar 10 ekor sahaja,” katanya.

ULAR sawa yang sempat menelan seekor ayam sebelum ditangkap APM.

Menurutnya, dia pernah beberapa kali memasang pagar dan jaring bagi menghalang ular sawa menceroboh masuk ke dalam reban ternakan namun usahanya tidak berhasil.

Ujar Kahar, dia percaya ular sawa batik berkenaan berasal dari habitat hutan berdekatan sungai yang terdapat di bahagian belakang rumahnya.

Sementara itu APM daerah Alor Gajah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan reptilia tersebut kira-kira pukul 7.45 pagi.

“Seramai empat anggota APM bergegas ke lokasi berkenaan dan mendapati ular sawa batik seberat tujuh kilogram masih berada di dalam dalam reban.

“Petugas berjaya menangkap reptilia tersebut menggunakan peralatan khas sebelum dibawa pulang ke ibu pejabat bagi tindakan lanjut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1593
Kongsi :
Previous post Kes pertama varian Omicron babitkan pelajar antarabangsa dikesan di Malaysia
Next post Sumbangan YaPIEM daging dan barang asas, ringankan beban pelajar UTeM
Ubah saiz-+=