Kerajaan utamakan pekerja tempatan berbanding pekerja asing
TAPAH, 2 Dis – Kerajaan memberi keutamaan kepada tenaga pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan pelbagai sektor pekerjaan di negara ini berbanding warga asing.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata dengan kadar pengangguran pada 4.8 peratus di negara ini, kerajaan perlu memastikan peluang pekerjaan yang ada diisi oleh pekerja tempatan.
“Saya tidak boleh menganaktirikan pekerja tempatan, apabila betul-betul tawaran kepada pekerja tempatan mendapat peluang pekerjaan dan kita sudah berpuas hati, baru kita membuat keputusan membawa pekerja asing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Ansonex Malaysia di Tapah Road di sini hari ini.
Saravanan mengulas dakwaan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan dirinya sebagai punca utama masalah kekurangan tenaga kerja di negara ini kerana berdolak-dalik mengenai isu itu.
Ngeh turut mendakwa kenaikan harga kebanyakan barang di negara ini akibat dua kementerian berkenaan tidak dapat mencapai keputusan dalam menangani kekurangan tenaga pekerja.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata pihaknya perlu meneliti ketulenan sijil vaksinasi COVID-19 warga asing sebelum mengambil mereka bekerja memandangkan terdapat beberapa negara dipercayai memalsukan sijil vaksinasi.
Beliau berkata penularan kes COVID-19 yang masih tinggi di seluruh dunia menyebabkan pintu sempadan antarabangsa beberapa negara masih ditutup.
“Jadi, macam mana hendak bawa pekerja asing? (Mahu) ‘bawa dari langit’ atau ada magik,” katanya.
Sementara itu, Saravanan berkata pihaknya bersetuju dengan kenyataan Hamzah bahawa kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk membawa pekerja asing masuk ke negara ini sebaliknya ia memerlukan persediaan rapi termasuk mengambil kira faktor keselamatan kesihatan.
“Saya setuju dengan pandangan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), kalau ikut industri mereka kalau boleh hari ini juga (ambil pekerja asing).
“Tetapi kerajaan perlu ambil kira pelbagai aspek seperti keselamatan, kesihatan, keperluan dan kadar pengangguran,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.