Majikan perlu segera tempatkan pekerja asing berdaftar program RTK
Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memanggil majikan terbabit untuk segera menempatkan pekerja yang berdaftar dengan program RTK itu untuk disenaraikan sebagai pekerja asing sah.
“Saya nak lihat semua mereka ini telah bekerja dalam negara kita dengan diberikan PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara) yang sah. Itu yang kita mahu lakukan,” katanya kepada media selepas melancarkan Pusat Satelit Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Menurut Hamzah, daripada 280,088 pekerja warga asing yang telah berdaftar di bawah program RTK, lebih 120,000 terlibat dalam sektor perladangan dan jumlah itu hanya mewakili antara 20 dan 30 peratus keperluan buruh dalam sektor perladangan negara.
Mengenai laporan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan seramai 32,000 pekerja asing secara pengecualian khas bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk sektor perladangan khususnya kelapa sawit, Hamzah berkata : “Secara realistik, jumlah tersebut tidak mencukupi untuk sektor perladangan. Sebenarnya kita memerlukan jumlah yang lebih besar.”
Dalam pada itu, katanya walaupun telah diumumkan kebenaran membawa masuk 32,000 pekerja asing bulan lalu namun belum ada lagi yang tiba di negara ini.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.