Sorting by

×

Nelayan hasilkan ikan masin melalui tenaga solar

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER LIMAU 29 Nov – Sejajar kemajuan dalam penghasilan tenaga, seorang nelayan di Kampung Ramuan Cina Besar, di sini mengaplikasikan rumah ikan masin yang menggunakan tenaga solar.

Abu Hasan Sulaiman, 61, tidak perlu lagi bergantung kepada cuaca panas untuk menghasilkan ikan masin, sebaliknya beliau sudah mampu menghasilkan produk berkenaan sepanjang masa.

Pada waktu siang dia menjemur ikan dalam rumah ikan masin yang diperbuat daripada kerangka besi dan bumbung lut sinar yang dilengkapi sistem penyimpanan tenaga solar.

Rumah ikan masin berukuran 3×1 meter itu disumbangkan Jabatan Perikanan Melaka bagi membantu meningkatkan ekonomi nelayan melalui penghasilan dan pemasaran ikan masin.

Abu Hasan berkata, beliau bersyukur kerana diberi bantuan dan peluang untuk menghasilkan ikan masin melalui kaedah itu berikutan sebelum ini menggunakan kaedah biasa menjemur atas para untuk menghasilkan ikan masin.

“Semasa musim hujan saya tidak dapat menjemur ikan masin tetapi dengan adanya rumah ikan masin itu, saya mampu menghasilkan ikan masin sepanjang masa dan kualitinya terjamin kerana bebas daripada lalat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di kampung itu hari ini.

Abu Hasan adalah seorang daripada kira-kira 30 nelayan di Jeti Kampung Paya Lebar, Lubok Cina, dekat sini yang menangkap ikan dengan kaedah tradisional seperti memancing, menjaring, memasang bubu, menjala dan merawai.

ABU Hasan

Antara ikan yang menjadi nada rezekinya ialah gelama, siakap, semilang, duri, pari dan seumpamanya, selain udang galah yang menjadikan jeti berkenaan sebagai tumpuan penggemar haiwan marin itu untuk mendapatkan hasil tangkapan segar.

Katanya, ketika cuaca panas, piring tenaga berkenaan menyimpan tenaga untuk membolehkan kipas dalam rumah ikan masin berfungsi bagi mengeringkan ikan pada waktu malam.

“Saya hanya perlu memusingkan ikan supaya ia kena cahaya matahari di semua bahagian, sekali gus mengelakkan ikan menjadi busuk akibat tidak terkena cahaya matahari di semua
bahagian,” katanya.

Dia berkata, selain bergantung rezeki kepada penjualan hasil tangkapan secara konvensional, ikan kering menambah sumber pendapatannya yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Katanya, penghasilan ikan masin juga mampu dipertingkat berikutan tempoh menjemur ikan yang lebih singkat dengan menggunakan rumah ikan masin berbanding kaedah penghasilan secara konvensional.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1004
Kongsi :
Previous post Abdul Hakim dilantik Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka yang baharu
Next post Lebih 2.7 juta populasi remaja negara lengkap vaksin
Ubah saiz-+=