Belum rezeki Melaka United…
KETUA Jurulatih Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC), Zainal Abidin Hassan akur dengan kegagalan kelab bimbingannya mara ke pentas akhir Piala Malaysia.
Ia selepas skuad Hang Tuah dikecewakan Kuala Lumpur City FC pada penentuan sepakan penalti di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Menurut Zainal, walaupun impian pasukannya untuk mencipta sejarah tidak kesampaian, namun sebagai jurulatih beliau mengakui berbangga dengan aksi yang ditunjukkan pemain.
Ujarnya, pemain tidak mengenal erti putus asa sepanjang perlawanan yang diheret sehingga masa tambahan itu selepas terikat dengan agregat 2-2 pada masa sebenar.
“Pujian perlu diberi kepada pemain kerana mereka menunjukkan semangat juang tinggi dan tidak berputus asa untuk mengheret saingan ke masa tambahan.
“Di masa tambahan juga mereka masih menggasak dan mencipta beberapa peluang di kawasan lawan namun malam ini bukanlah malam kami untuk cipta kemenangan.
“Rezeki tidak menyebelahi Melaka, pasukan ini masih tidak tewas cuma kita tidak berjaya sempurnakan penalti untuk pergi ke perlawanan akhir, walaupun kecewa tetapi pemain telah berikan yang terbaik dan perlu meneruskan perjuangan,”
katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam aksi yang dicemari insiden bekalan elektrik terputus itu, Melaka United terlebih dahulu ketinggalan seawal minit ke-9 selepas J Partiban membuka tirai jaringan buat KL City.
Namun, skuad Hang Tuah berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi Ahmad Syamim Yahya untuk menjadikan agregat 2-2 buat kedua-dua pasukan.
Perlawanan kemudiannya diheret ke masa tambahan selepas tiada gol terhasil dan akhirnya penentuan sepakan penalti menjadi penentu untuk memilih pasukan yang akan ke final.
Melaka United akhirnya terpaksa akur tewas selepas penyerang importnya, Giovane Gomez gagal menyempurnakan sepakan penalti ketiga, manakala KL City FC berjaya dalam semua sepakan penaltinya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.