Sorting by

×

KKM pergiat penguatkuasaan premis tidak semak status vaksinasi pelanggan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PUTRAJAYA 26 Nov – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempergiat penguatkuasaan di lapangan terutama di premis perniagaan dan restoran susulan menerima laporan peniaga tidak lagi menyemak status vaksinasi pelanggan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya mengambil serius keadaan COVID-19 semasa dan langkah itu diambil untuk memastikan kadar jangkitan menurun.

“Selain usaha memperluas penerima dos penggalak, KKM juga mempergiat penguatkuasaan terutama di premis perniagaan. Ini kerana KKM mendapat laporan banyak premis perniagaan sudah tidak lagi semak status vaksinasi pelanggan.

“Saya telah arahkan bahagian penguatkuasaan KKM untuk membuat semakan terhadap premis perniagaan dan keluarkan kompaun kepada mereka yang tidak menyemak status vaksinasi dan patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Khairy berkata hampir semua negeri menunjukkan peningkatan kes COVID-19 kecuali Perlis, Sarawak dan Sabah susulan kebenaran merentas negeri bermula 11 Okt lepas.

Beliau berkata tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Terengganu dan Kelantan menunjukkan kadar pengisian katil ICU melebihi 50 peratus.

“Dalam kalangan pesakit COVID-19 kategori tiga hingga lima yang dirawat di fasiliti kesihatan, didapati bilangan pesakit dalam kalangan kumpulan umur 40 tahun ke atas dan juga kumpulan warga emas iaitu 60 tahun ke atas telah menunjukkan peningkatan,” katanya.

Beliau berkata ia mungkin disebabkan faktor tahap antibodi terhadap COVID-19 yang menurun selepas beberapa bulan menerima vaksinasi lengkap.

Katanya situasi itu juga dilihat di banyak negara yang mencapai kadar vaksinasi lengkap yang tinggi.

“Golongan warga emas dan golongan 40 hingga 59 tahun telah terlebih dahulu menerima vaksin sebelum ini dan tahap antibodi terhadap COVID-19 menurun lebih awal.

“Justeru bagi memastikan tahap antibodi terhadap jangkitan COVID-19 kekal optimum, KKM menyarankan pemberian dos penggalak dan hingga semalam sebanyak 1,823,474 dos penggalak telah diberikan,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

898
Kongsi :
Previous post Rusuhan di Kepulauan Solomon, semua rakyat Malaysia selamat – Wisma Putra
Next post KKM terima 93 permohonan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 – Khairy
Ubah saiz-+=