Ibu tunggal kerugian RM85,700 ditipu kekasih maya
ALOR GAJAH 26 Nov – Seorang ibu tunggal berputih mata selepas menanggung kerugian RM85,700 akibat diperdaya kekasih maya yang dikenali menerusi laman sosial.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 59 tahun yang tidak bekerja dan tinggal di Masjid Tanah.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa mengenali individu berkenaan menerusi Instagram yang menggunakan nama Ahmed Hashim dari Amerika Syarikat sebelum berkomunikasi menggunakan aplikasi Whatsapp.
“Suspek memberitahu akan mengirimkan hadiah mewah tanda persahabatan seperti beg tangan, kasut, dompet, jam tangan rantai emas dan rantai leher selain wang tunai berjumlah AS$15,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, susulan itu, mangsa menerima Whatsapp mengatakan dari pos laju Kuala Lumpur dan memaklumkan barang mangsa sudah sampai.
Katanya, mangsa diberitahu perlu menjelaskan bayaran berikutan barang tersebut mempunyai masalah.
“Mangsa membuat pembayaran secara berperingkat menggunakan wang simpanan arwah suaminya ketika bekerja di Singapura ke dalam empat akaun berbeza yang jumlah keseluruhannya bernilai RM85,700 dalam tempoh Ogos hingga Oktober lalu.
“Setelah membuat pembayaran, mangsa tidak menerima barangan seperti dijanjikan, malah penama Ahmed Hashima masih meminta wang daripada mangsa.
Arshad berkata, mangsa mengesyaki dia diperdaya oleh individu tersebut sebelum membuat laporan polis semalam.
Jelasnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.