Pendekatan EBP perlu digalakkan bagi capai sasaran berada antara sembilan ekonomi terbaik dunia – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

KUALA LUMPUR 25 Nov – Pendekatan dasar dan peraturan berasaskan bukti (EBP) perlu digalakkan dalam usaha kerajaan mencapai sasaran berada antara sembilan ekonomi terbaik dunia untuk sub-indeks Kecekapan Kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata indikator peraturan perniagaan di Malaysia telah menunjukkan trend kemerosotan yang ketara dalam tempoh 10 tahun lepas, iaitu daripada kedudukan ke-19 pada 2010 kepada kedudukan ke-47 pada tahun ini.

“Ini gesaan yang kuat untuk pembaharuan pengawalseliaan. Kita mesti lakukan sesuatu.

“Dalam mencapai sasaran ini, pendekatan EBP perlu digalakkan.

“EBP akan diterapkan dalam mekanisme perancangan, penilaian dan pemantauan supaya dapat menjamin pembaharuan struktural yang menyeluruh bagi kelestarian pertumbuhan produktiviti dan ekonomi,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Peraturan (GRP) secara maya hari ini.

Persidangan itu merupakan acara kemuncak bagi Bulan GRP yang telah bermula pada 25 Okt 2021 hingga hari ini.

Ismail sabri berkata pendekatan Keseluruhan Kerajaan atau “Whole-of-Government Approach” yang menitikberatkan kerjasama rapat dan bersepadu semua kementerian, agensi, dan jabatan menjadi asas pelaksanaan GRP.

“Bukan itu sahaja, penglibatan pihak swasta, industri dan komuniti perniagaan di dalam GRP juga akan ditingkatkan.

“Prinsip, elemen, dan proses dalam kaedah GRP mesti diterima pakai oleh semua kementerian dan agensi pengawal selia dalam penggubalan dan semakan dasar serta peraturan,” katanya.

Katanya elemen GRP antaranya Analisis Impak Peraturan, Analisis Kos Faedah dan Penilaian Notifikasi Peraturan mesti dilaksanakan dengan teliti selain data dan maklumat yang terangkum harus membuktikan bahawa tindakan peraturan benar-benar membawa kepada kesejahteraan rakyat.

“Saya menyokong penuh inisiatif pembangunan peraturan berkualiti dalam merealisasikan agenda ini seperti yang dirancang dalam RMK12.

“Saya juga yakin mandat yang diberikan kepada MPC untuk menerajui pembaharuan peraturan akan dijalankan dengan penuh tanggungjawab dalam memudahcara pelaksanaan GRP.

“Hala tuju kita adalah satu – produktiviti meningkat, ekonomi berkembang dan negara yang makmur,” katanya.

Ismail Sabri menegaskan dasar dan peraturan yang berkualiti bakal memudahcara operasi perniagaan, meningkatkan ketelusan serta meminimumkan bebanan kos dan sumber.

“Industri boleh berkembang dengan lebih dinamik dan anjal untuk kekal berdaya saing,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post Aniaya kanak-kanak Sindrom Down, pengasas Rumah Bonda didakwa lagi
Next post 15 keluarga tinggal di atas tanah kerajaan rayu ihsan
Ubah saiz-+=