Melaka United rangka strategi, sedia cipta sejarah baru
MENJELANG pertemuan kedua separuh akhir Piala Malaysia Jumaat ini, Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) mula merangka strategi dengan taktikal baharu bagi menghadapi kebangkitan KL City FC di Stadium Hang Jebat.
Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata, aksi di laman sendiri mungkin menjadi satu kelebihan buat anak buahnya.
Namun, beliau tetap meminta agar berwaspada dengan ancaman skuad ibu kota itu yang turut mempunyai misi sama untuk mencipta sejarah ke perlawanan akhir.
“Game plan taktikal sedikit sebanyak pasti ada perubahan menentang pasukan KL City ini, jadi pemain harus bersedia 100 peratus bermula dari wisel permulaan sehingga wisel penamat dan perlu bermain dengan disiplin yang tinggi.
“Hari Jumaat ini saya akan memilih kesebelasan yang terbaik untuk memulakan perlawanan dan kita juga harapkan penyokong-penyokong memberi sokongan padu kepada Melaka United, Insya-Allah kami bersedia mencipta sejarah,” katanya
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui dalam satu majlis di Bandaraya Melaka, hari ini.
Dalam pada itu, Zainal turut menzahirkan kelegaan apabila tiada pemainnya berdepan kecederaan serius menjelang pertemuan yang dianggap cukup penting ini.
Ekoran itu, beliau menuntut komitmen yang cukup tinggi dalam kalangan anak buahnya untuk memberikan persembahan yang jauh lebih baik daripada apa yang disajikan sebelum ini.
Untuk rekod, pada pertemuan pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin lalu, Melaka United terikat 1-1 dengan KL City.
Aksi separuh akhir kedua bakal berlangsung di Stadium Hang Jebat, Jumaat ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.