Ekonomi Melaka perlu lonjakan baharu – mantan MB NS

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 24 Okt – Melaka memerlukan satu lonjakan baharu dalam sektor ekonomi, termasuk memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan, kata Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.

Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, kini adalah masa untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) Melaka, di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, bekerja dengan lebih kuat setelah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lepas.

“Kemenangan yang dikecapi mesti dilunaskan segera dengan tanggungjawab memulihkan ekonomi, mencipta pekerjaan, dan menambahbaik tadbir urus Kerajaan,” beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata dalam satu kenyataan.

MOHAMAD Hasan

Katanya, susulan daripada kestabilan politik, kemakmuran rakyat Melaka mesti diterjemahkan melalui kepesatan pembangunan dan kesejahteraan hidup.

Mohamad berkata, Melaka memerlukan lonjakan baru di dalam sektor ekonomi.

Tambahnya, pelancongan Melaka juga perlu diberi nafas baru dengan model perniagaan yang inovatif.

“Idea untuk menjadikan Melaka sebuah kota utama untuk pekerja lepas (freelancers), digital nomad, dan pengiat industri kreatif wajar diberikan keutamaan. Melaka boleh menjadi destinasi bagi pekerja lepas (freelancers) dan industri kreatif utama Malaysia.

“Berasaskan kekuatan Melaka dalam industri pelancongan kesihatan, anjakan seterusnya ialah membangunkan Melaka sebagai wilayah ekonomi berorentasikan kesihatan yang utama di negara ini,” katanya.

“Melalui ikhtiar sebegini, sektor seperti pembuatan produk berkaitan kesihatan, latihan kesihatan, serta pengembangan industri farmaseutikal boleh menjadi sektor keberhasilan baru,” katanya.

Mohamad berkata, kedudukan Melaka yang strategik di Selat Melaka juga mesti digunakan sebaik mungkin bagi menjadikan negeri ini sebagai gerbang baru bagi kemasukan industri, pelancong, pekerja, dan pelajar dari Sumatera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

697
Kongsi :
Previous post Penerima GKP dipertimbang untuk terima Bantuan Keluarga Malaysia secara automatik
Next post Sinar baharu buat lapan sekeluarga tinggal di teratak usang menanti rebah
Ubah saiz-+=